Berita

Teroka hubungan dagangan lebih holistik

- Diterbit 8 Januari 2025 7:54 AM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa menunjukkan kesungguhan dalam meneroka hubungan dagangan yang lebih holistik dan terbuka dengan negara-negara blok ekonomi dunia.

Penganalisis politik, Dr Syed Agil Alsagoff berpandangan hubungan dagangan yang lebih terbuka ini akan memperkukuhkan nilai ringgit dan nilai eksport barangan dan perkhidmatan negara ke pentas dunia.

“Ia akan memberi kesan yang lebih positif, efisyen dan berdaya saing selain turut menobatkan negara sebagai pusat pelaburan ASEAN yang penting berikutan Malaysia dipilih sebagai Pengerusi Persidangan ASEAN.

“Dalam masa sama, Malaysia akan muncul sebagai pusat pelaburan maju berasaskan sains dan teknologi dalam rantau Asia, menyediakan suasana iklim perdagangan yang kondusif bagi pelabur-pelabur selain insentif-insentif yang berdaya saing kepada para pelabur,” ujarnya kepada Wilayahku.

Tambah Syed Agil, Kerajaan MADANI Anwar telah meletakkan gagasan baru pemerkasaan ekonomi pelaburan dan perdagangan antarabangsa secara lebih konstruktif dan holistik bagi memastikan peluang terbuka Malaysia menjalankan hubungan dagangan dengan negara-negara luar secara besar, berdemokrasi dan lebih realistik.

“Hubungan dagangan melibatkan sektor-sektor industri yang lebih konstruktif dari segi kemantapan pelaburan ekonomi dunia akan mempasakkan negara sebagai pemain industri teknologi tinggi yang lebih kondusif dan maju serta memacu Malaysia menjadi pusat ekonomi baharu teknologi tinggi di rantau ini.

“Seterusnya Malaysia akan menjadi negara maju sejajar dengan peranan yang dimainkan dalam persekitaran ekonomi yang mencabar pada hari ini dan akan datang. Paling penting ialah penumpuan negara kepada sektor-sektor teknologi tinggi tersebut akan mengundang lebih banyak bidang pekerjaan baharu yang boleh ditawarkan kepada warga Malaysia serta mengangkat negara sebagai mercu ekonomi teknologi tinggi yang hebat di rantau Asia dan dunia.

“Saya percaya dengan pendekatan Malaysia menyuburkan pelaksanaan dan pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga akan memberikan faedah yang berwibawa kepada semua pihak terutamanya kepada warga Malaysia,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, kesungguhan kerajaan memasang strategi pelaburan antarabangsa dengan memacu lebih banyak hubungan diplomatik perdagangan dengan negara luar telah dapat dibuktikan.

“Kita dapat lihat kesediaan negara-negara berkenaan membuat pelaburan besar di negara ini sekali gus meletakkan nama Malaysia sebagai rakan dagangan mereka yang berwibawa.

“Ini juga dapat dilihat dengan jelas apabila negara-negara berkenaan mengiktiraf peranan Malaysia sebagai negara anggota BRICS, dan blok perdagangan bebas dunia serta memberi lebih banyak ruang dan peluang kepada negara ini untuk berhubung dagangan dengan negara tersebut tanpa berprasangka buruk,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas