BERMULA dengan minat mendalam pada bidang penternakan sejak di bangku sekolah rendah mendorong bekas jurutera berusia 44 tahun ini meninggalkan kerjaya yang selesa dan bergaji besar untuk bergelar penternak.
Menurut Pemilik Syarikat Sittha Farm Sdn Bhd‚ Sittharanjanan Subramaniam‚ hidupnya sudah sebati dengan haiwan ternakan sejak dari kecil lagi.
Ujarnya‚ ketika di bangku sekolah‚ dia telah mula menabung dan melakukan pelbagai pekerjaan sambilan hanya untuk membeli seekor kambing yang berharga sekitar RM400.
“Duit belanja yang diberikan oleh ibu bapa saya simpan dalam tabung dan pada hujung minggu saya akan mencari besi atau tin kosong untuk dijual. Dengan hasil itulah‚ ketika masih bersekolah saya telah mempunyai dua ekor kambing dan semakin bertambah tahun ke tahun.
“Selepas memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), bapa menghadiahkan sebanyak 60 ekor kambing. Dari situlah saya mula menternak secara suka-suka‚” ujarnya kepada Wilayahku.
Bercerita lanjut mengenai ternakannya‚ setelah dia memperoleh kerjaya sebagai jurutera di sebuah syarikat minyak dan gas satu ketika dahulu‚ dia menggunakan duit simpanan untuk membesarkan penternakannya.
Kini dia merupakan satu-satunya penternak terbesar di Labuan yang memiliki lebih 10‚000 haiwan ternakan antaranya kerbau‚ lembu (tenusu)‚ kambing‚ rusa‚ burung puyu dan ayam.
“Setiap tahun anggaran 150 ekor lembu dan 400 ekor kambing berjaya dijual dengan harga lembu bermula RM5‚000 ke atas mengikut jenis baka‚ saiz dan berat manakala kambing pula RM1‚200 hingga RM1‚500‚” ujarnya yang juga merupakan seorang pengadil bola sepak kebangsaan.
Bercerita mengenai kisah dukanya dalam bidang penternakan‚ beliau berkata pengalaman pahit selama bergelar penternak hampir 20 tahun adalah ketika 400 ekor lembu dan kambingnya mati akibat diracun sekitar tahun 2018 dan 2021.
Ujarnya‚ akibat angkara tersebut dia telah mengalami kerugian agak besar dan hampir berputus asa untuk meneruskan bidang ternakan.
“Sedih‚ marah dan bermacam-macam perasaan ketika itu namun sudah tentu lembu dan kambing saya yang telah mati tidak dapat dikembalikan semula jika saya terus bersedih.
“Itulah dugaan yang paling saya tidak boleh lupa hingga ke hari ini namun saya anggap perkara itu sebagai cabaran dalam perniagaan‚” ujarnya.
Untuk akan datang‚ dia merancang mengembangkan ternakan namun apa yang menjadi penghalang adalah kesukaran untuk mendapatkan pekerja kerana mentaliti sesetengah orang yang tidak mahu bergelumang dengan pekerjaan yang kotor.
“Jika isu pekerja ini dapat diatasi‚ penternakan saya dapat dikembangkan lagi pada masa akan datang‚” ujar beliau yang kini mempunyai enam orang pekerja. – WILAYAHKU