Singgah

Teringat-ingat masakan ibu

PELBAGAI jenis kuih-muih tersedia di Park In by Radisson Putrajaya sepanjang Ramadan ini.
- Diterbit 22 Februari 2025 12:30 PM MYT

MASAKAN kampung merupakan antara menu yang menjadi kegemaran terutamanya bagi anak desa yang merantau ke ibu kota. Ada yang sanggup masuk ke ceruk kampung semata-mata untuk ‘memburu’ menu kampung asli kerana merindukan air tangan bonda.

Kini anda tidak perlu lagi bersusah payah menjelajah ke luar daerah semata-mata untuk menikmati hidangan kampung yang enak.

Bagi menikmati masakan enak seperti masakan bonda tercinta‚ Park Inn by Radisson Putrajaya menyediakan pelbagai menu membuka selera sepanjang Ramadan ini.

Hotel yang terletak di tepi jalan menuju ke Putrajaya itu menawarkan lebih 100 hidangan istimewa dan berciri kampung. Sajian Warisan Bonda di RBG menggabungkan pelbagai hidangan asli seperti masakan ibu-ibu.

Hasil air tangan Chef Faizul Muhammad itu menampilkan resipi keluarga yang penuh dengan sejarah dan kasih sayang. Antaranya gulai kawah‚ kambing golek‚ udang galah‚ kari kepala ikan‚ ayam masak jintan‚ sambal sotong petai‚ rendang itik dan patin masak tempoyak.

Pelbagai jenis nasi turut dihidangkan seperti nasi putih‚ nasi minyak‚ nasi bukhara dan nasi biryani.

Selain itu‚ aneka sup antaranya perut‚ kambing‚ ayam dan daging juga boleh dinikmati bersama roti.

Bagi penggemar sambal pula‚ pelbagal sambal disediakan seperti sambal mangga‚ cencaluk‚ budu‚ sambal kicap‚ sambal hijau dan sambal jawa.

Istimewanya‚ pelanggan juga boleh menikmati bubur lambuk‚ kerabu maggi‚ som tam‚ laksa‚ mihun sup dan banyak lagi di gerai Istimewa Iftar.

Menurut Chef Faizul Muhammad‚ setiap hari menu adalah berbeza supaya pelanggan boleh memilih menu berbuka puasa mengikut cita rasa mereka.

“Setiap hari kami hidang lauk-pauk kampung yang berbeza dan menggunakan bahan segar. Kami ingin menjaga kualiti makanan supaya pelanggan yang berbuka puasa di sini berpuas hati‚” katanya.

Bufet Ramadan Sajian Warisan Bonda akan bermula dari 2 hingga 28 Mac‚ setiap hari dari pukul 7 hingga 9.30 malam. Harga bufet adalah RM108 untuk dewasa dan RM54 untuk warga emas dan kanak-kanak.

Promosi pembelian early bird RM75 (dewasa sahaja) boleh dibeli mulai sekarang hingga 28 Februari 2025. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas