Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN
SEBAHAGIAN besar dalam kalangan kita tentu tidak mahu menyekutukan diri dengan sampah antaranya dianggap seperti sampah atau bekerja mengutip dan mengangkut sampah. Semua yang berkaitan dengan sampah bukan sahaja suatu yang tidak bernilai, tetapi juga kotor dan busuk termasuk lori sampah.
Sekalipun begitu sampah juga memberi kehidupan kepada sesetengah dalam kalangan masyarakat. Mereka hidup dengan mengutip barang buangan di tapak pelupusan sampah untuk dikitar semula. Pekerjaan itu hanya dilakukan oleh kelas sosial yang paling rendah dalam masyarakat.
Pengangkut sampah juga adalah jenis pekerjaan paling rendah. Di negara kita pekerjaan itu banyak dilakukan oleh warga asing terutama Bangladesh. Sebenarnya bukan disebabkan upah yang rendah, tetapi disebabkan stigma masyarakat terhadap kerja-kerja sedemikian.
Bagaimanapun pada realitinya kehidupan kita tidak dapat berpisah daripada sampah. Bayangkan dalam sehari dianggarkan tidak kurang 36,000 tan sampah dibuang di negara ini atau pecahannya 1.17 kilogram setiap seorang. Dalam setahun lebih kurang 14 juta tan sampah dibuang di seluruh negara.
Menguruskan sampah apa lagi yang sebanyak itu memerlukan manusia terutama pengangkut sampah untuk mengutip dari premis kediaman serta perniagaan makanan. Bercampur baur kering dan basah adalah biasa kerana tidak semuanya tempat disediakan tong yang berasingan. Kerap juga tangan pengangkut sampah tercucuk serpihan kaca yang dibuang dalam tong sampah.
Sebenarnya selain sebagai sumber pendapatan, banyak juga hampir jenis pekerjaan yang ada nilai dan sumbangan yang tersendiri kepada orang ramai. Sama ada pekerjaan yang dipandang tinggi serta mulia atau yang rendah dan upahnya murah, ada sumbangan dalam hal-hal tertentu.
Bagaimanapun tidak semua sumbangan itu nampak ketara di mata, cuma ada kesan-kesan tertentu yang menunjukkan dinikmati oleh orang ramai. Biasanya jenis pekerjaan yang dipandang rendah oleh sesetengah pihak itu masa yang sama ada sumbangan yang agak ketara besarnya kepada masyarakat.
Di Kuala Lumpur misalnya, yang membangunkan dan menyumbang ke arah masyarakat yang sejahtera bukan sahaja individu yang berkerjaya tinggi dan dipandang mulia. Kuala Lumpur juga dibangunkan oleh individu yang berkerja di bidang yang penuh kotor dan tidak diminati, termasuk pengangkut sampah.
Tanpa penglibatan individu yang memilih jenis pekerjaan sedemikian, siapa yang hendak memastikan kehidupan warga di bandar raya itu selesa – tidak ada sampah sarap, semak samun atau longkang-longkang tersumbat? Siapa lagi yang mengangkut sampah atau membersihkan longkang kalau bukan individu yang memilih kerja sedemikian.
Oleh itu kita tidak boleh terlalu pantas menilai sesuatu pekerjaan atau individu yang melakukan kerja daripada sudut luaran sahaja. Hal itu kerana banyak juga kerja yang tidak indah di mata, tetapi memberi keindahan pada kehidupan orang lain.
Wang adalah raja
Banyak individu yang melakukan kerja dalam keadaan kotor, comot dan busuk itu memberikan sumbangan melalui pekerjaannya. Malah bukan setakat memberi sumbangan, adakala lebih besar berbanding pekerjaan yang kelihatan prestij dan mulia. Misalnya mereka hanya bekerja untuk pulangan kepada diri sendiri.
Sebab itulah ada sesetengah yang bekerja dalam persekitaran yang kotor lebih besar sumbangannya berbanding segelintir golongan kolar putih di kerusi empuk dan di bilik berhawa dingin. Biarpun hampir semua kerja dalam persekitaran kotor berada dalam kelas paling bawah, sumbangannya kepada masyarakat tidak boleh dinafikan.
Saya pernah bertanya kepada pekerja angkut sampah warga Bangladesh, kenapa dia membeli dua bungkus nasi? Dia memberitahu, satu untuk sarapan di atas lori dan satu lagi untuk makan tengah hari.
Kenapa tidak makan di gerai? Jawapan yang diberikan agak mengharukan kerana dia sedar ada orang tidak selesa kalau mereka makan dengan pakaian dan keadaan yang kotor. Mereka juga segan kerana faham stigma terhadap bidang kerja yang dilakukan itu, lalu mendepani dengan realistik dan sedar diri.
Sebab itulah bukan suatu yang luar biasa kalau ada yang menutup hidung apabila ada lori pengangkut sampah melintas di jalan raya. Itu adalah realiti dan pekerja-pekerja yang bergayut di belakang lori terpaksa menelan semua keadaan yang meloyakan itu kerana tugas.
Tetapi seperti biasa banyak yang tidak ambil peduli akan kesanggupan individu-individu itu melaksanakan tugas bukan sahaja mendapat upah, malah memberi keselesaan pada kehidupan orang lain. Tidak dapat dibayangkan kalau pekerja-pekerja itu melancarkan mogok selama seminggu.
Frasa cash is king tidak tepat dalam semua keadaan. Katakanlah, kalau diberi upah tinggi sekalipun tidak ada yang mahu melakukan. Apakah yang berlaku pada persekitaran kehidupan kita apabila sampah sebanyak 36,000 tan sehari itu tidak diuruskan dengan baik?
Tetapi syukur, tetap ada individu yang mahu melakukan kerja-kerja seperti itu walaupun dengan upah yang pada relatifnya masih kecil, tidak setimpal dengan persekitaran yang mendatangkan bahaya pada kesihatan mereka. Tanpa pekerja yang selalu dipandang rendah itu, Kuala Lumpur mungkin sudah tertimbus dengan sampah.
Kerja-kerja itu tergolong dalam kategori kerja 3D iaitu kotor (dirty), dangerous (bahaya) dan sukar (difficult). Maksud kotor dalam 3D antaranya kerja buruh atau pekebun yang bermain tanah dan lumpur. Walaupun kerja angkut sampah tidak bahaya atau terlalu sukar, tetapi persekitaran yang kotor itu membuatkan tidak banyak yang sanggup melakukannya.
Memang benar Kuala Lumpur adalah pusat perdagangan dan ekonomi yang terkemuka. Sekalipun begitu pembangunan prasarana seperti tumbuhnya bangunan tinggi yang menyapu awan menjadi tempang kalau muka bumi di pusat bandar raya penuh dengan kekotoran dan sampah sarap.
Sebab itulah setiap kali lori pengangkut sampah dengan pekerja-pekerja yang berpakaian kotor dan comot melintasi kediaman, saya bersyukur kerana ada manusia yang memilih kerja mulia yang memberi kehidupan selesa kepada saya dan juga orang lain. Memang bekerja kerana upah, tetapi masa yang sama menyumbang pada persekitaran hidup yang bersih dan bebas penyakit.
Pada sisi yang lain pula mereka yang memilih kerja berkenaan lebih beruntung kerana tidak terdedah pada lorong-lorong yang membuka pada perbuatan tidak amanah. Sekalipun begitu tentu ada segelintir pengangkut sampah yang tidak amanah.
Bagaimanapun pelakuan pengangkut sampah itu tidaklah merosakkan seluruh sistem untuk masyarakat berbanding sekiranya dilakukan oleh individu di bidang kerja yang dipandang mulia dan berkuasa. Dengan itu ternyata tidak semua yang dikaitkan dengan sampah itu benar-benar sampah dan sampah yang bahaya adalah yang tersembunyi dalam jiwa.