Berita

Terdapat keperluan sediakan kurikulum baharu sekolah – KPM

- Diterbit 16 November 2024 2:57 AM MYT

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) menegaskan terdapat keperluan untuk menyediakan kurikulum baharu sistem persekolahan, khususnya menjelang 2027.

Menurut KPM, kurikulum persekolahan 2027 yang sedang digubal bermatlamat melahirkan individu yang mengamalkan kehidupan seimbang dalam segala aspek.

Katanya, ia juga bagi membentuk individu yang mampu membudayakan pembelajaran sepanjang hayat selain menghargai perpaduan dan keharmonian kaum.

“Reka bentuk kurikulum ini adalah masih berasaskan standard tetapi berorientasikan kompetensi.

“Selain itu itu membentuk warga yang beradab dan bertanggungjawab serta berdaya saing,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

KPM menjawab soalan Zakri Hassan (PN-Kangar) mengenai perancangan mengubah secara keseluruhan kurikulum sekolah dengan kehendak masa kini.

Jelas KPM, antara perkara baharu yang dicadangkan adalah perubahan pada tahap persekolahan, pembentukan karakter, pembelajaran bersepadu dan pentaksiran.

Katanya, kesemua perubahan tersebut memerlukan kepada semakan semula senarai mata pelajaran serta peruntukan waktu bagi mencapai matlamat kurikulum persekolahan 2027.

“Sesuai dengan sifat kurikulum yang dinamik bagi memenuhi keperluan masyarakat yang sentiasa berubah, KPM giat melaksanakan pelbagai inisiatif penting bagi mereformasikan pendidikan negara, termasuk penstrukturan semula sistem prasekolah, kurikulum persekolahan 2027 dan intervensi kurikulum bagi menangani keciciran pembelajaran.

“KPM juga telah mengadakan sesi libat urus, persidangan, tinjauan dan kajian bagi mendapatkan maklum balas berkaitan kurikulum yang sedang diguna pakai.

“Pelbagai pihak seperti warga pendidik, pemain industri, ahli akademik, badan bukan kerajaan, agensi kerajaan dan swasta serta pihak berkepentingan yang lain telah dilibatkan,” katanya.

Menurutnya, KPM turut meneliti dasar negara yang utama seperti Dasar Pendidikan Kebangsaan, Dasar Kanak-Kanak Negara, Dasar Perpaduan Negara, Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan Dasar Pendidikan Digital.

Katanya, turut diambil kira adalah laporan pencapaian murid dalam penandaarasan antarabangsa Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS), Programme for International Students Assessment (PISA) dan SEA-Primary Learning Metrics.

“Hasil dapatan daripada aktiviti tersebut menunjukkan terdapat keperluan untuk menyediakan kurikulum baharu bagi memenuhi pelbagai keperluan masa kini dan masa hadapan.

“Kurikulum tersebut harus berupaya menghasilkan generasi yang memiliki mentaliti pertumbuhan (growth mindset) dan mengamalkan budaya pembelajaran sepanjang hayat,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas