Berita

Teratai Gergasi mekar indah di Taman Botani

TAMAN Botani Putrajaya menjadi tarikan pengunjung untuk menyaksikan Teratai Gergasi yang sedang mekar
- Diterbit 21 Jun 2024 4:10 PM MYT

SPESIES Teratai Gergasi yang ditemui di Taman Botani Putrajaya menjadikan ia sebagai salah satu tarikan menarik di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan tersebut.

Menurut Senior Gardener Perbadanan Putrajaya (PPj), Mohd Nor Jamalul Lail Mohd Dasuki, Victoria amazonica atau lebih dikenali sebagai Giant Water Lily (Teratai Gergasi) yang terdapat di Taman Botani Putrajaya itu merupakan hadiah yang diberikan oleh Taman Botani Pulau Pinang pada tahun 2016.

“Pihak kami Berjaya mendapatkan biji benih daripada pokok asal dan telah disemai untuk menambah koleksi. Selain daripada itu, ia juga merupakan salah satu usaha dan inisiatif pihak PPj dalammempelbagaikan koleksi di Taman Botani untuk tujuan Pendidikan dan penyelidikan.

“Spesies tumbuhan akuatik yang berasal dari keluarga Nymphaeaceae yang luar biasa saiznya itu pertama kali dijumpai pada tahun 1832 di benua Amerika Selatan dan mudah didapati di sepanjang Sungai Amazon. Genera tumbuhan ini dinamakan dengan Victoria sebagai penghormatan kepada Queen Victoria (1819 -1901).

“Antara ciri unik Victoria amazonica ialah ukuran daunnya yang lebar dengan garis tengah yang mencapai dua meter. Daun ini berwarna hijau dan mempunyai warna merah manggis (maroon) di bawahnya. Setiap bahagian bibir daun pula kelihatan melengkung ke atas yang mana pada lekukan itu terbentuk dua takuk di bibir daun.

“Bentuknya yang seakan-akan muncung cerek berfungsi untuk mengalirkan air hujan yang bertakung di atasnya. Anggaran berat setiap daun boleh mencecah lebih 30 kilogram yang mana boleh dikatakan ia sangat berat jika dibandingkan dengan dedaun tumbuhan biasa.

“Bunganya berwarna putih dan kebiasaannya bertukar warna menjadi merah muda selain mekar pada malam serta mengeluarkan bau yang wangi. Bunga ini juga didebungakan oleh kumbang yang aktif pada waktu malam. Victoria amazonica boleh dibiakkan melalui biji benih dan keratan,” ujar beliau.

Dalam masa sama, Mohd Nor berkata kebolehan Teratai Gergasi ini mengapung di atas air sebenarnya terletak pada struktur anatomi daunnya.

“Pada bahagian Bawah permukaan daun, terdapat jaluran putih seperti sarang labah-labah yang berfungsi sebagai tulang rusuk. Ia berongga dan memilikikemampuan yang sangat tinggi sebagai perangkap udara.

“Udara yang terperangkap dalam ruang di antara tulang rusuk ini membolehkan daun terbesar di dunia ini terapung cantik di atas permukaan air. Batangnya pula tenggelam dalam air dan panjangnya boleh mencecah antara tujuh hingga lapan meter,” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata terdapat duri tajam meliputi bawah daun, batang dan tunas bunga bagi melindunginya daripada dimakan haiwan seperti ikan.

“Namun di sebalik saiznya yang sangat besar, daun teratai ini sebenarnya rapuh. Daunnya mudah bocor atau terkoyak jika tercucuk sama ada menggunakan tangan atau kaki. Berdasarkan uji kaji terhadap ketahanan daun tersebut, didapati daun teratai Victoria yang matang ini boleh menyokong beban seberat 70 kilogram.

“Lebih daripada itu akan menyebabkan daun raksasa itu terkoyak. Suatu ketika dahulu, pernah tersebar gambar yang menunjukkan manusia berdiridi atas daun gergasi ini. Selepas diselidiki, rupa-rupanya terdapat lembaran cermin telah diletakkan di atas permukaan daun itu untuk menampung berat subjek,” ujarnya.

Mohd Nor memberitahu spesies tumbuhan itu perlu dilindungi dan menjadi tanggungjawab semua bagi mencegah sebarang bentuk vandalisme terhadapnya.

Pengunjung yang ingin melihat sendiri tumbuhan ini, boleh dating ke Zon Etnobotani di Taman Botani Putrajaya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas