Berita

Terapkan semangat bersukan dari bangku sekolah

- Diterbit 25 Ogos 2024 11:32 AM MYT

PELAJAR digalakkan menerapkan semangat aktif bersukan sejak dari bangku sekolah rendah, kata Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin.

Beliau berkata sukan bukan sahaja menguatkan jasmani tetapi juga mendidik rohani dan membentuk disiplin yang tinggi.

“Sekiranya ada anak-anak kita yang berminat untuk menjadikan sukan sebagai kerjaya suatu hari nanti adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menyediakan platform dan fasiliti yang secukupnya,” katanya di Facebook.

Beliau berkata demikian selepas hadir merasmikan Kejohanan Olahraga Tahunan Kali Ke-14 Tahun 2024 peringkat Sekolah Kebangsaan Seri Permaisuri.

Azman berkata mendidik anak bersukan sejak kecil sama dengan pepatah Melayu melentur buluh biarlah dari rebungnya.

“Ini bermaksud mendidik anak-anak kita perlulah dilakukan sejak kecil lagi.

“Kita ingin melihat anak-anak pelajar ini semua berjaya dalam bidang yang mereka ceburi, sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa suatu hari nanti,” katanya.

Sementara itu, Azman berkata semalam beliau turut merasmikan Kejohanan Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan Alam Damai 2024.

Beliau bangga melihat pelajar-pelajar di Sekolah Kebangsaan Alam Damai yang cukup bersemangat menyertai Kejohanan Sukan Tahunan.

“Kehadiran ibu bapa yang datang memberikan sokongan kepada para pelajar juga cukup memberangsangkan.

“Motto Sekolah Kebangsaan Alam Damai, Anak kita, sekolah kita, tanggungjawab kita,” amat saya sanjungi.

“Falsafah ini mengingatkan kita bahawa tanggungjawab mendidik anak bangsa tidak hanya terletak pada bahu guru-guru, tetapi juga pada ibu bapa dan seluruh masyarakat,” katanya.

Menurut Azman, semangat kebersamaan ini harus terus mekar dalam setiap jiwa rakyat.

“Jika bukan kita yang mengambil tanggungjawab ini, siapa lagi.

“Iltizam untuk mendidik dan membimbing anak-anak kita menuju kejayaan harus terus menjadi perjuangan bersama antara para ibu bapa dan guru-guru sekalian,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas