Labuan

Terapi di hutan paya bakau

- Diterbit 19 November 2024 12:15 PM MYT

DI SEBALIK keindahanan pulau yang kaya dengan sumber kehidupan marin dan pemandangan pantai yang mendamaikan‚ Labuan turut diserikan dengan Taman Ekologi Paya Bakau Kinabenuwa yang menjadi tumpuan pelancong khususnya pencinta alam semula jadi.

Terletak kira-kira tujuh kilometer dari pusat bandar‚ lokasi tersebut  menyajikan keindahan alam menerusi suasana eksotik hutan paya bakau.

Berkeluasan lebih 60 hektar‚ ia diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal (HSK) oleh kerajaan sekali gus menjadi salah satu pusat tumpuan ekopelancongan yang merangsang ekonomi tempatan.

Dibuka semula selepas projek pembangunan fasa 2 pada September lalu‚ kini lokasi tersebut berwajah baharu dengan menampilkan pembangunan infrastruktur yang lebih menarik kepada pengunjung khususnya pelancong luar.

Jika berpeluang ke sini‚ pasti sesiapa sahaja terpukau dengan keindahan rimbunan pokok bakau yang unik diselang-seli kicauan burung pelbagai spesies yang memberi ketenangan jiwa.

Di lokasi tersebut‚ pengunjung boleh melihat dan mengenali kira-kira 16 spesies pokok bakau daripada tujuh jenis yang berbeza antaranya Bakau Minyak‚ Bakau Kurap dan Bakau Gedabu.

Menelusuri kawasan tersebut‚ anda berpeluang meniti jambatan yang berlatarbelakangkan Sungai Kinabenuwa yang tenang sambil berswafoto bersama keluarga dan rakan.

Penat mengelilingi kawasan tersebut‚ jangan risau di kawasan ini terdapat dua buah gazebo dan tiga pondok perhentian untuk anda berehat seketika.

Seorang pengunjung‚ Sam Kok Kiong mengakui begitu teruja dengan keindahan alam semula jadi yang memberikan ketenangan kepada emosinya setelah penat bekerja.

Ujarnya‚ selain daripada itu‚ lokasi tersebut turut mengingatkannya kepada kampung halaman di Sabah.

“Ini merupakan lokasi yang kerap saya kunjungi setiap minggu jika berkelapangan. Selain suasana yang tenang‚ saya sering memancing‚” ujarnya kepada Wilayahku.

Dalam pada masa sama‚ dia sempat berpesan kepada para pengunjung untuk bersama-sama menjaga kemudahan yang disediakan dengan menjauhi vandelisme.

“Gunakan sebaiknya untuk manfaat bersama memandangkan lokasi ini merupakan salah satu tarikan pengunjung ke Labuan‚” ujarnya yang merupakan seorang penjawat awam.

Bagi Erna Gitong‚ keadaan Taman Paya Bakau sebelum ini agak lusuh dan usang namun setelah diberi nafas baharu menjadikan ia salah satu lokasi tumpuannya bersama keluarga terutamanya pada hujung minggu.

“Ini merupakan kali pertama saya dan keluarga datang selepas ia ditutup sementara untuk pelaksanakan kerja-kerja menaik taraf. Saya lihat kemudahan yang ada bagus dan selesa.

“Apa yang menarik perhatian‚ turut disediakan satu kawasan untuk berkelah yang memberi ruang lebih selesa dan selamat kepada pengunjung berkelah di kawasan ini‚” ujarnya.

Erna turut mencadangkan kepada pihak berwajib agar membuka tapak jualan di kawasan tersebut untuk memberikan kemudahan kepada pengunjung dari segi makanan dan minum.

“Cadangan saya‚ bagi memeriahkan lagi kawasan ini‚ mungkin pihak berkenaan boleh mewujudkan beberapa kios untuk pengunjung mendapatkan minuman dan makanan ringan. Saya rasa jika adanya kemudahan tersebut‚ pasti akan menarik lebih ramai ke sini‚” ujarnya.  – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas