Advertorial

Terap nilai akhlak Gen-AI

- Diterbit 11 November 2024 8:00 PM MYT

KETIKA ini kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI) sudah tidak asing lagi dalam kehidupan manusia‚ bahkan penggunaannya sudah tersebar luas ke pelbagai sektor industri seperti automotif‚ kesihatan serta kewangan.

Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) yang berasaskan sistem digital kini berjalan rancak di serata dunia didorong oleh kemampuan AI sebagai satu daripada kunci pemacu utama.

AI telah membuatkan manusia kagum dengan hasil kerjanya‚ namun demikian‚ teknologi ini turut mengundang rasa gusar melibatkan ancaman pekerjaan yang sedia ada dan etika penggunaannya.

Menyedari kegusaran tersebut khususnya dalam kalangan pelajar di Institut Pengajian Tinggi (IPT)‚ Perdana Menteri‚ Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata semua teknologi mempunyai kesan positif dan negatif.

Katanya apabila berlaku revolusi teknologi maka kebergantungan kepada jumlah pekerja juga akan berkurangan.

“Tetapi perlu diingatkan bahawa manusia mempunyai keupayaan untuk mereka yang baharu sebagai contoh hilang pekerjaan di kilang‚ tambah pekerjaan di AI. Tutup kilang baju tekstil kerana upah rendah‚ buka data centre dan AI serta tutup kilang yang dirasakan low end buka semiconductor industries.

“Jadi bagi saya fikir positif‚ maknanya ada kesan yang membimbangkan dari segi peluang pekerjaan tetapi kita bagi latihan‚ kalau dulu kita tidak belajar digital dan AI di universiti tetapi sekarang kita harus berikan keutamaan.

“Kalau dulu kita sudah longgar sikit tentang Sains‚ Matematik‚ Kejuruteraan dan Teknologi (STEM), sekarang kita kena tumpu balik‚ kena bagi penekanan yang tinggi kerana kalau unjuran dua hingga tiga tahun akan datang‚ kita akan kekurangan sekitar 30‚000 jurutera dan kita harus perbanyakkannya‚” katanya ketika menjawab soalan dalam Sesi Temu Anwar di Karnival Generasi Ada Idea (Gen-AI).

Anwar berkata kebimbangan utama mengenai perkembangan AI adalah sifat manusiawi dan nilai kemanusiaan akan terhakis jika kita tidak berwaspada kerana semuanya beranggapan mesin boleh menjawab segalanya.

“Maka sebab itu dalam pendidikan kita‚ sementara penguasaan teknologi‚ AI dan digitalization itu penting‚ penekanan tentang nilai manusiawi‚ akhlak dan keyakinan agama harus diperkuatkan supaya seiring. Saya tanya Microsoft dan Google‚ mereka mengatakan AI ini sebagai sains‚ tidak neutral kerana tertakluk kepada siapa yang memberikan input.

“Maknanya di sini kita harus asak dengan kesedaran tentang nilai dan kemanusiaan kerana AI tidak peduli tentang sejarah‚ perasaan, emosi‚ sentimen‚ baik dan buruk melainkan dimasukkan dalam aplikasi tersebut mengenai soal nilai dan keyakinan. Menjadi tanggungjawab anak-anak muda kini berbekalkan latihan serta kesedaran penguasaan AI.

“Sudah banyak buku yang menceritakan mengenai bahaya AI kepada umat manusia dan kemungkinan AI menjadi satu senjata yang akan menghakis keyakinan manusia namun bagi saya ia bukan salah teknologi tersebut tetapi salah latihan dan nilai manusia‚” ujar beliau.

Mengulas lanjut‚ beliau berkata pihaknya telah memberikan arahan agar pendedahan kepada AI diberikan di peringkat awal bagi semua mahasiswa.

“Apabila kita perkenalkan Fakulti AI di Univerisiti Teknologi Malaysia (UTM) dan ia hanya mengambil masa empat bulan terus berjalan dan saya luluskan RM20 juta untuk take off‚ kemudian kita pastikan di semua universiti dibantu supaya ada keupayaan AI‚” ujarnya.

KECINTAAN PADA ILMU

Anwar berkata Malaysia kini sudah menjadi hub semikonduktor apabila sebanyak 26 peratus semikonduktor dieksport ke Amerika Syarikat.

“Ketua Eksekutif Infineon ada menyatakan bahawa dia memerlukan seramai 4‚000 jurutera yang mempunyai kemahiran AI‚ maknanya up-skilling daripada jurutera maka kita arahkan semua Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan perbelanjaan lebih dari RM7 bilion termasuk daripada Maahad Tahfiz bagi latihan TVET dan sebahagiannya AI.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) antara yang bantu menyelaraskan bidang ini supaya ada keupayaan digital. Baik MCMC‚ TEKUN Nasional‚ Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC)‚ ini semua badan-badan dan agensi yang menyediakan pinjaman sama ada untuk start-ups ataupun latihan tambahan untuk mahasiswa‚ graduan‚ lulusan kolej dan TVET‚” katanya.

Dalam pada itu‚ Anwar turut mengingatkan para mahasiswa kepentingan pendidikan bukan sahaja tertumpu kepada penguasaan ilmu‚ tetapi juga menerapkan nilai dan akhlak yang tinggi dalam golongan anak muda.

“Kerana ramai orang dapat ilmu tapi hilang nilai‚ hilang akhlak‚ ini yang hilang. Jadi‚ anak muda itu harus ditanam kecintaan kepada ilmu dan kemudian satu kecintaan kepada ilmu‚ keduanya dia kena faham dan nilai.

“Tugas mahasiswa selain daripada menimba ilmu mereka juga merupakan jurubicara masyarakat sekelilingnya yang disebut conscience of the majority represent the voice conscience aspirations of the majority‚ suara hati nurani rakyat yang inginkan kebebasan‚ keadilan serta kesaksamaan‚” ujar beliau.

Terdahulu‚ Anwar hadir menyempurnakan Karnival GEN-AI yang diadakan di Tapak Parkir Gravitas‚ Jalan Baru Prai‚ Pulau Pinang pada 2 November lalu. Antara yang menjadi tumpuan dalam karnival ini ialah sesi Temu Anwar yang menyaksikan Perdana Menteri berinteraksi dengan belia. Pelbagai soalan merangkumi isu-isu semasa termasuk keselamatan dalam talian‚ buli siber dan perkembangan teknologi AI diajukan kepada Perdana Menteri.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 1‚ Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid; Menteri Dalam Negeri‚ Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Timbalan Menteri Komunikasi‚ Teo Nie Ching; Timbalan Menteri Kewangan‚ Lim Hui Ying dan Pengerusi MCMC‚ Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas