JAGUH perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menepati ramalan ramai apabila menjuarai Kumpulan G, selepas menewaskan pemain Sepanyol, Pablo Abian sebentar tadi.
Aksi cemerlang Zii Jia sekali gus menyaksikan pemain itu melangkah ke peringkat 16 terbaik Sukan Olimpik Paris 2024.
Pemain berusia 26 tahun itu memperoleh kemenangan mudah dengan keputusan 21-10, 21-13 dalam masa 34 minit dalam perlawanan terakhir kumpulan yang berlangsung di Porte de La Chapelle Arena.
Terdahulu, Zii Jia menewaskan pemain Sri Lanka, Viren Nettasinghe 21-14, 21-12 dalam tempoh 35 minit, menerusi aksi pertama kumpulan.
Atlet tinggi lampai itu seterusnya dijadualkan menentang sama ada pemain nombor sembilan dunia dari Indonesia, Anthony Ginting atau wakil Perancis, Toma Popov bagi menempah slot ke suku akhir. – WILAYAHKU