KERAJAAN akan menambah baik proses pengeluaran sijil halal yang ketika ini telah dipercepatkan daripada beberapa bulan kepada 30 hari.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, untuk itu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sentiasa prihatin membantu pemohon terdiri daripada premis makanan dan minuman mendapatkan sijil berkenaan.
“Sebenarnya pihak JAKIM telah berjaya mempercepatkannya (tempoh pengeluaran sijil halal) daripada beberapa bulan kepada 30 hari.
“Ia akan ditambah baik dari semasa ke semasa jika kita lihat dari segi statistik peningkatan permohonan dan kelulusan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) mengenai proses pengeluaran sijil halal yang lama sehingga ada pemohon berputus asa.
Terdahulu beliau memberitahu, kerajaan sentiasa mengambil langkah proaktif membantu usahawan dalam pelbagai aspek termasuk meningkatkan kesedaran pengusaha-pengusaha mengenai pensijilan halal Malaysia.
Dalam hal ini katanya, kerajaan melalui JAKIM dan pihak berkuasa agama negeri-negeri sentiasa bertindak aktif menggalakkan pengusaha memohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
Beliau berkata, JAKIM juga mewujudkan inisiatif bimbingan dan latihan kepada industri melalui Rakan Strategik, Malaysia International Halal Academy (MIHA) dan Penyedia Latihan Halal.
Menjawab soalan tambahan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) mengenai kutipan fi pensijilan halal, katanya, ia menunjukkan peningkatan meyakinkan iaitu lebih RM12 juta pada tahun lalu.
“Kita telah mengadakan banyak program untuk memberikan pencerahan dan bimbingan, antaranya program Halal On Track di beberapa negeri.
“Kita menyediakan kemudahan dan klinik halal yang membimbing industri dan premis-premis untuk mendapatkan sijil pengesahan halal,” katanya. – WILAYAHKU