Berita

Tempoh proses bawa masuk pekerja asing disingkatkan – Saifuddin

- Diterbit 17 Januari 2024 10:46 AM MYT

TEMPOH proses permohonan membawa masuk pekerja asing akan disingkatkan dari 29 bulan 13 hari ketika ini kepada 15 bulan 23 hari, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing ke-10 Bilangan 1/2024 yang diadakan di sini hari ini.

“Ia merupakan pengurangan signifikan sehingga 46 peratus (dalam proses permohonan), “ katanya dalam sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa itu yang turut dihadiri oleh Menteri Sumber Manusia Steven Sim.

Beliau berkata sebagai contoh antara penambahbaikan daripada pengurangan tempoh ini, tempoh pembayaran levi dapat dikurangkan daripada 30 hari kepada 15 hari.

“Pengurangan tempoh itu misalnya, bagi bayaran levi ketika ini adalah 30 hari namun apabila diteliti data, hampir 77 peratus majikan membayar dalam  tempoh 15 hari.  Jadi mengapa kita perlukan 30 hari, jadi kita pendekkan kepada 15 hari

Proses kemasukan pekerja asing akan melalui beberapa peringkat, daripada kelulusan, permohonan kuota, temu duga agensi, sehingga tiba di pintu masuk negara,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata keputusan berkenaan hanya akan dikuatkuasakan sehingga satu keputusan baharu dibuat kerajaan mengenai pembukaan semula kuota pengambilan pekerja asing setelah dibekukan sejak 17 Mac 2023. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas