KHAMIS lalu negara digemparkan dengan kes pembunuhan tragis kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 8, di mana mayatnya ditemui di kawasan anak sungai berdekatan Apartmen Idaman, Damansara, selepas beberapa jam dilaporkan hilang.
Hasil bedah siasatan kemudian membongkar punca kematian kanak-kanak malang itu dengan beberapa kesan jerut di leher dan turut dikaitkan dengan jenayah seksual.
Kisah ini turut meruntun hati pelakon popular, Rozita Che Wan yang amat memahami naluri dan isi hati ibu kepada Allahyarham Zayn iaitu Ismanira Abdul Manaf, 28.
“Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Sebagai seorang ibu, saya faham apa yang ibu Zayn lalui saat ini. Biarpun ada netizen yang kecam dan tuduh Ismanira kononnya cuai, tetapi bagi saya kecaman ini cukup biadap kerana kita tidak tahu perkara sebenar. Itu yang saya tidak faham dengan perangai netizen.
“Orang sedang bersedih kehilangan anak, mereka boleh pula nak kecam dan tuduh yang bukan-bukan. Sepatutnya mendoakan, bukannya mengeji. Apa yang saya boleh cakap, rasanya tidak sesuai netizen nak masuk campur atau menghakimi kehidupan orang lain. Ini kerana kita tidak berada di tempatnya,” katanya.
Wanita yang lebih mesra disapa Che Ta ini mengakui tidak dapat membayangkan situasi ibu Zayn apabila mendapat tahu anaknya disahkan meninggal dunia akibat dibunuh.
“Kalau saya di tempatnya, saya tidak tahu bagaimana keadaan saya ketika itu. Tidak dapat dibayangkan betapa sedih dan runsing apabila anak hilang.
“Jadi ketika saya repost di Instagram, saya tulis siapa ada nampak Zayn minta kerjasama untuk serahkan kepada pihak berkuasa yang sedang jalankan siasatan.
“Walaupun ketika itu saya sedang sibuk dengan penggambaran, saya tetap ambil masa untuk beritahu berita itu kepada pengikut-pengikut di media sosial kerana saya faham situasi seorang ibu apabila kehilangan anak.
“Saya mendoakan agar Puan Ismanira tabah dan banyakkan bersabar menghadapi dugaan ini. Semoga anak kecil yang istimewa ini ditempatkan di syurga Allah.
“Apabila saya tengok gambar arwah, adik Zayn ini sangat tabah dan tenang. Semoga keluarganya terus diberikan semangat dan berada dalam lindungan Allah.
“Dalam masa yang sama, saya sentiasa mendoakan agar ada keadilan untuk adik Zayn. Kita pun tidak sabar untuk tahu, siapalah pelaku yang sangat kejam,” ujarnya. – WILAYAHKU