Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Biz

Tembikar Mambong lebih 100 tahun masih diminati

- Diterbit 28 Jun 2024 12:10 PM MYT

MENGGUNAKAN teknik cubit dan picit, teknik lingkaran dan teknik cantuman serta keunikan tanah liat yang mempunyai kilauan seperti bintik-bintik emas, membuatkan tembikar Mambong masih mendapat permintaan tinggi penggemarnya walaupun sudah berusia lebih 100 tahun.

Dikenali sebagai tembikar Mambong kerana berasal dari Kampung Mambong yang terletak kira-kira 20 kilometer dari pekan Kuala Krai, untuk sampai ke perkampungan terpencil bagi melihat sendiri hasil seni proses pembuatan produk berkenaan perlu menggunakan bot.

Pengusaha tembikar Mambong, Zainab Hussin, 72, berkata tembikar yang dihasilkan mempunyai keunikan tersendiri kerana tanah liat perlu dibentuk dan dibakar terlebih dahulu bagi mengekalkan rupa bentuk selain memastikan ia kukuh dan kalis air.

“Saya mempelajari seni kraf ini daripada bapa mentua kira-kira 50 tahun lepas dengan menggunakan teknik tradisional selain menggunakan batu sungai dan beberapa alat buatan daripada buluh untuk menghias tembikar.

“Harga sebiji tembikar berbeza-beza mengikut jenis dan saiz sekitar RM30 hingga RM100 dan boleh mencecah RM400 sekiranya membeli lima set pelbagai jenis tembikar,” katanya ketika ditemui Bernama di bengkel mini miliknya di Kampung Mambong baru-baru ini.

Sementara itu, Halimah Said, 68, yang juga pembuat tembikar berkata tembikar hasil buatan tangan lebih menarik kerana mempunyai nilai seni tersendiri dan berkualiti.

“Tanah liat yang digunakan diambil dari Kampung Bahagia terletak dua kilometer dari Kampung Mambong. Saya pernah mencuba membuat tembikar menggunakan tanah liat dari tempat lain, namun hasilnya tidak elok kerana mudah pecah dan kurang berkualiti.

“Selain tembikar, barangan lain yang menggunakan bahan daripada tanah liat adalah teko, kendi, alat pengukus kuih, belanga dan tempat membakar kemenyan,” katanya.

Sementara itu, jurupandu Stong Geopark Dabong, Kuala Krai dan Jeli, Mohd Rafizi Abdullah berkata seni kraf pembuatan tembikar secara tradisional di Kampung Mambong seharusnya dipelihara kerana mempunyai nilai estetik yang begitu tinggi.

Beliau berkata pihak berkuasa khususnya kerajaan negeri perlu menambah baik perkampungan itu seperti tempat pendaratan bot yang lebih sesuai bagi memudahkan pelancong berkunjung ke kawasan berkenaan serta menyediakan kemudahan awam untuk menarik lebih ramai pengunjung.

“Selain itu, kerajaan negeri juga boleh mewujudkan satu kawasan atau pusat seni kraf berdekatan pinggir Sungai Kelantan yang berdekatan dengan Kampung Mambong untuk penduduk menjual produk – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas