DUA pengendali aplikasi mesej dalam talian, Telegram dan Tencent (WeChat) telah memulakan proses pelesenan yang diperlukan untuk beroperasi di Malaysia.
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), kedua-dua platform itu dijangka memenuhi syarat yang diperlukan untuk beroperasi di negara ini dalam masa terdekat.
“MCMC memuji komitmen Telegram dan Tencent untuk mematuhi keperluan pelesenan tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Jelas MCMC, keperluan pelesenan yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2025 bertujuan untuk meningkatkan keselamatan dalam talian, melindungi pengguna dan memperkukuh kawal selia ke atas penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial.
Ia katanya, dirangka untuk mewujudkan persekitaran dalam talian yang dipercayai dan selamat dengan menyeru penyedia perkhidmatan agar melindungi pengguna, khususnya kanak-kanak dan golongan rentan.
“Rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada peningkatan keselamatan, pengalaman pengguna yang lebih baik serta perlindungan yang lebih teguh terhadap kandungan berbahaya.
“MCMC mengingatkan semua penyedia perkhidmatan yang memenuhi syarat pelesenan agar mengemukakan permohonan mereka dengan segera sebelum tarikh akhir pada 31 Disember ini,” katanya.
Tegas MCMC, kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan tindakan pengawalseliaan diambil walaupun ia adalah perkara yang mahu dielakkan oleh semua pihak.
“MCMC juga komited untuk memberikan sokongan yang diperlukan kepada semua penyedia perkhidmatan bagi memastikan proses permohonan mereka berjalan lancar,” tambahnya. – WILAYAHKU