Berita

Telan kos tinggi, bangun platform media sosial sendiri bukan keutamaan

- Diterbit 6 Ogos 2024 6:08 PM MYT

BUAT masa ini kerajaan tidak melihat cadangan untuk mewujudkan aplikasi media sosial yang khusus untuk kegunaan rakyat Malaysia sebagai keutamaan,” kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata ini berikutan untuk membina satu platform media sosial sendiri menelan kos yang sangat tinggi.

“Di pihak kerajaan pada waktu ini, tidak melihat ia sebagai satu perkara yang menjadi keutamaan,” katanya pada sidang media selepas hadir di Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi.

Pada Ahad lalu, Fahmil dilaporkan berkata kerajaan akan meneliti cadangan untuk mewujudkan aplikasi media sosial yang khusus untuk kegunaan rakyat Malaysia seperti yang sedang diusahakan oleh beberapa negara.

Beliau menjelaskan, ia kerana penyedia aplikasi media sosial didapati mengaut keuntungan daripada rakyat di negara ini, namun dalam masa yang sama gagal menjamin soal keselamatan penggunanya.

Menurutnya, ia juga susulan tindakan Meta Platforms Inc (Meta) menurunkan hantaran berkaitan Palestin menerusi platform media sosial milik syarikat itu baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata buat masa ini kerajaan perlu menyelesaikan banyak masalah yang penting untuk rakyat.

Bagaimanapun, beliau tidak menghalang jika ada mana-mana pihak swasta di Malaysia yang berhasrat untuk membangunkan platform media sosial sendiri.

“Masalah seperti sekolah daif dan klinik daif (penting waktu ini).

“Tetapi sekiranya ada mana-mana pihak swasta di Malaysia yang berhasrat untuk membangunkan, itu terpulang kepada mereka.

“Kita tidak melarang, dan mereka boleh berhubung dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) atau Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk mendapatkan bantuan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas