Berita

Telah lama berlaku – Mohamad

MOHAMAD ketika menjawab mengenai isu beras di sidang Dewan Rakyat.
- Diterbit 8 Mac 2025 3:00 PM MYT

PELBAGAI tohmahan, kata-kata kesat dan fitnah dilemparkan terhadap Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu apabila isu pencampuran beras putih tempatan (BPT) dan beras putih import (BPI), kecoh diperkatakan.

 

Ramai yang marah apabila menteri itu tidak pantas menjawab segala dakwaan itu. Kata mereka menteri itu telah kantoi dan sah menipu rakyat Malaysia.

 

Jangan cepat melatah, beliau mengambil masa untuk menjawab dakwaan tersebut kerana tidak mahu mencetuskan lagi kemarahan rakyat dan menunggu keadaan reda.

 

Akhirnya pemimpin berkenaan tampil memberi penjelasan yang membuatkan rakyat berpuas hati.

 

Menurutnya amalan pencampuran beras BPT dan BPI berlaku sejak 1970-an lagi, iaitu selepas penubuhan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) di bawah pentadbiran kerajaan-kerajaan terdahulu.

 

Mohamad berkata amalan itu bukannya baru berlaku ketika pemerintahan kerajaan sekarang.

 

Beliau memberitahu sepanjang pelaksaanan Task Force Khas Bersepadu Operasi Beras Putih Tempatan (OP BPT), kementeriannya telah menerima maklumat bahawa kampit BPI yang dijual di pasaran mengandungi campuran kandungan BPT dan BPI.

 

“Untuk mengesan dan mengesahkan pencampuran ini, KPKM mengarahkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) membangunkan teknologi yang boleh mengesan pencampuran beras.

 

“Hasilnya, MARDI berjaya membangunkan teknologi berasaskan cap jari asid deoksiribonukleik (DNA) yang mampu mengesan varieti dan sumber asal beras dengan bukti saintifik,” katanya.

 

Mohamad berkata demikian dalam jawapan bertulis menjawab soalan Datuk Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar), yang mahu tahu ke mana perginya beras tempatan untuk rakyat sedangkan keluasan sawah negara adalah lebih 644,854 hektar dan mengeluarkan lebih daripada 2.4 juta tan metrik padi semusim.

 

Mohamad menambah melalui teknologi ini, analisis dijalankan dengan membuat perbandingan profil DNA beras melalui sampel yang diperolehi dengan profil DNA padi varieti tempatan yang telah diisytiharkan di Malaysia.

 

“Keputusan analisis oleh MARDI menunjukkan wujud persamaan profil DNA dengan varieti padi tempatan atau dengan kata lain berlaku percampuran BPT dengan BPI dalam kampit BPI.

 

“Bagaimanapun, berdasarkan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] dan perundangan subsidiari di bawahnya, tiada peruntukan yang khusus yang jelas bagi pendakwaan kes di mahkamah mengenai kesalahan percampuran beras,” katanya.

 

Bulan lalu media melaporkan, kira-kira 40 hingga 50 peratus BPI daripada 5,000 sampel yang dianalisis MARDI disahkan bercampur dengan BPT.

 

Mengulas lanjut Mohamad berkata Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah menjalankan kajian ke atas industri padi dan beras pada sejak awal tahun lalu.

 

Menurut beliau hasil kajian tersebut dibentangkan di Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara (JKKMN).

 

“Berdasarkan dapatan MyCC, berlaku amalan proses pencampuran BPT dengan BPI di dalam industri padi dan beras.

 

“MyCC merumuskan tujuan pencampuran ini adalah untuk memenuhi cita rasa pengguna tempatan dan menghasilkan variasi jenama di pasaran,” katanya. – WILAYAHKU
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas