Berita

Teknologi AI dan AR jadi pemacu Majlis Amanat Ketua Setiausaha Negara (KSN) 2025

- Diterbit 20 Januari 2025 6:58 PM MYT

JABATAN Perkhidmatan Awam (JPA) sekali lagi mencipta langkah inovatif dengan memanfaatkan teknologi Kecerdasan Buatan (Al) dan Realiti Terimbuh (AR) sebagai pemacu utama dalam pelaksanaan Majlis Amanat Ketua Setiausaha Negara (KSN) 2025.

Pendekatan kreatif ini diterjemahkan melalui penggunaan eBackdrop interaktif yang dilengkapi elemen AR, memberikan pengalaman visual baharu yang lebih dinamik dan futuristik kepada para hadirin.

“Seluruh proses inovasi AR ini direalisasikan sepenuhnya menggunakan kepakaran dalaman Unit Komunikasi Korporat (UKK) manakala montaj dan gimik pula oleh Bahagian Digital dan Teknologi Maklumat (BDTM), JPA.

“Pendekatan ini membuktikan keupayaan dan kebolehan sumber manusia dalam sektor awam untuk mengadaptasi teknologi terkini tanpa kebergantungan kepada pihak luar.

“Selain itu, gimik pelancaran yang menggunakan elemen teknologi terkini menjadi simbolik kepada komitmen sektor awam dalam mendepani era pendigitalan sekaligus memastikan penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap, moden dan berimpak tinggi kepada rakyat,” ujar JPA menerusi satu kenyataan.

Majlis Amanat KSN ini turut menyaksikan pelancaran dua dokumen penting iaitu Surat Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2025: Garis Panduan Pengurusan Kesinambungan Perkhidmatan dalam Perkhidmatan Awam oleh CGSO.

Pekeliling itu bertujuan memperkukuh keupayaan sektor awam dalam memastikan kesinambungan perkhidmatan tanpa gangguan, khususnya ketika menghadapi situasi luar jangka seperti bencana atau pandemik.

Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam (PKPA) Bilangan 1 Tahun 2025 menekankan langkah-langkah strategik untuk meningkatkan mutu pengurusan aduan dan perhubungan pelanggan, selaras dengan usaha memastikan kepuasan rakyat sebagai keutamaan.

Empat teras utama pemantapan pengurusan pelanggan sektor awam adalah perancangan strategik, pelaksanaan strategi, pematuhan dan penambahbaikan berterusan.

Setiap perkhidmatan yang direka bentuk hendaklah memenuhi elemen manusia, proses, teknologi serta infrastruktur dan prasarana agar dapat meningkatkan tahap kepuasan pelanggan.

Agensi Sektor Awam wajar menawarkan Perkhidmatan Pelanggan Digital (Digital Customer Service) agar interaksi pelbagai saluran komunikasi dan perkhidmatan dapat berlaku sepenuhnya dalam persekitaran digital.

“Penggunaan sistem pengurusan data pelanggan bersepadu juga akan dapat menambah baik pengalaman pelanggan.

“Penggunaan teknologi Al dan AR dalam majlis ini mencerminkan aspirasi sektor awam untuk terus mengorak langkah ke hadapan, menyokong agenda reformasi perkhidmatan awam yang lebih inklusif dan progresif,” ujar kenyataan itu lagi.

Langkah ini juga seiring dengan tema majlis, “Reformasi: Satu Kemestian”, yang menekankan pentingnya inovasi dan transformasi dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Majlis ini dianjurkan bersama oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan JPA sebagai simbol kerjasama erat antara kedua-dua agensi dalam merealisasikan agenda reformasi perkhidmatan awam. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas