Berita

Tekad atasi masalah obesiti

ZALIHA (tiga dari kiri) bersama Dzulkefly ketika hadir pada majlis sambutan World Physical Activity Day (WoPAD) Peringkat Kebangsaan 2025 bersempena dengan Car Free Day Putrajaya.
- Diterbit 18 April 2025 5:43 PM MYT
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa akan memulakan langkah mencegah masalah obesiti kebangsaan bermula di peringkat agensi kerajaan khususnya di Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata demikian sebagai menyokong usaha berterusan Kementerian Kesihatan (KKM) menggalakkan masyarakat menjalani hidup sihat selari dengan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS).

Ini berikutan hasil Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 menunjukkan trend membimbangkan dengan 54.5 peratus rakyat mengalami masalah berat badan berlebihan.
Justeru Zaliha bertekad untuk menurunkan kadar berkenaan kepada 50 peratus sehingga hujung tahun ini.

“Usaha menerapkan kehidupan sihat harus digerakkan secara bersama dengan menggunakan pendekatan whole of nation dan komitmen daripada semua pihak.

“Justeru saya melihat kerjasama erat antara KKM dan PPj merupakan contoh kepada kerjasama agensi yang perlu diperkukuhkan dan diteruskan terutama membabitkan pembudayaan hidup sihat dan aktif dalam kalangan warga Putrajaya.

“Sebagai menyahut ANMS, menjadi petunjuk prestasi utama (KPI) kami membantu penurunan kadar obesiti bermula di agensi kerajaan sebelum diperluaskan kepada masyarakat keseluruhannya.

“Insya-Allah kita akan capai sasaran penurunan kepada 50 peratus hujung tahun ini,” katanya ketika ditemui pada sambutan World Physical Activity Day (WoPAD) Peringkat Kebangsaan 2025 bersempena Car Free Day Putrajaya.

Turut hadir Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Presiden PPj, Datuk Fadlun Mak Ujud dan Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Suriani Ahmad.

Kata Zaliha pihaknya amat berbesar hati apabila kementerian lain turut menunjukkan sokongan membantu menterjemahkan Bandar Sihat menerusi penganjuran pelbagai program.

Salah satu daripadanya sambutan WoPad dan Car Free Day Putrajaya.

“WoPad adalah inisiatif ke arah menjadikan Putrajaya bandar mampan dan sihat.

“Visi Wilayah Persekutuan sebagai C.H.A.S.E City atau Bandar C.H.A.S.E iaitu bandar bersih, sihat maju, selamat dan mesra alam kini hampir terlaksana dengan adanya aktiviti sebegini.

“Saya merakamkan jutaan terima kasih kepada KKM yang sentiasa prihatin dan berganding bahu dan berharap aktiviti sebegini dapat meningkatkan kesedaran rakyat khususnya penduduk Putrajaya untuk mengubah dan mengubah tingkah laku ke arah pembudayaan hidup sihat,” katanya. – WILAYAHKU
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas