DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melaksanakan dua program “touch point” bersama komuniti yang juga merupakan ‘Signature Programme’ DBKL sepanjang tahun 2024 iaitu Teh Hijau Kuala Lumpur serta Temu DBKL.
Ia merupakan usaha menjenamakan semula program berasaskan komuniti serta meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada warga kota.
Unit Media, Jabatan Perancangan Korporat DBKL dalam kenyataan berkata program yang bertemakan “Dari DBKL untuk Komuniti” itu akan dijalankan setiap bulan meliputi 11 kawasan parlimen di Kuala Lumpur secara bergilir.
“Program ini turut melibatkan kerjasama dengan beberapa rakan strategik seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Radio TelevisyenMalaysia, Jabatan Perangkaan Malaysia, Yayasan Wilayah Persekutuan Media (YWP Media), dan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA),” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, program Teh Hijau Kuala Lumpur yang berkonsepkan hijau rendah karbon akan diadakan pada setiap bulan pada hari Sabtu mengikut tarikh-tarikh yang akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
“Program Temu DBKL juga akan diadakan pada setiap bulan di lokasi-lokasi yang berbeza di 11 kawasan parlimen Kuala Lumpur pada hari Sabtu mengikut tarikh, masa dan tempat yang akan dimaklumkan kelak.
“Lokasi bagi program ini adalah sama pada setiap bulan iaitu di perkarangan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Bandar Tun Razak,” katanya.
Kata kenyataan itu, untuk penganjuran bulan Januari 2024, program Temu DBKL akan diadakan bersekali dengan program Teh Hijau Kuala Lumpur dan akan dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr. Zaliha binti Mustafa.
Menurut DBKL, selain dari menyediakan reruai yang akan menempatkan jabatan-jabatan DBKL yang memberikan informasi serta perkhidmatan, kedua-dua program ini akan turut menyajikan pengisian menarik seperti acara sukan dan kebudayaan.
“Pusat Khidmat Ahli Parlimen / Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) juga akan turut disediakan reruai serta penganjuran aktiviti kanak-kanak, jualan Rahmah oleh KPDN dan FAMA selain pemberian cenderamata menarik serta cabutan bertuah buat pengunjung,” katanya.
Tambahnya, DBKL menyasarkan program ini akan dapat meningkatkan pengetahuan dan pemahaman warga kota mengenai produk dan perkhidmatan yang disediakan oleh DBKL secara lebih meluas.
“Program ini juga bertujuan untuk meningkatkan reputasi dan kepercayaan warga kota terhadap DBKL melalui penyediaan perkhidmatan secara terus dan bersasar kepada komuniti setempat,”katanya. – WILAYAHKU