USAHA sama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri akan diperkukuhkan untuk membanteras aktiviti pemprosesan e-waste secara haram di negara ini yang semakin bertambah ekoran kemasukan e-waste secara haram dari negara luar.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata perkara tersebut dinyatakan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang Bertanggungjawab Mengenai Alam Sekitar (MEXCOE) di sini, semalam.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap premis-premis haram yang menjalankan aktiviti pemprosesan e-waste secara haram di negeri masing-masing.
“Langkah ini bertujuan untuk memastikan ketegasan dalam penguatkuasaan dan memberi mesej jelas bahawa aktiviti haram tidak akan dikompromi.
“Malaysia kekal komited dalam usaha melindungi alam sekitar dan kesejahteraan rakyat daripada ancaman yang dibawa oleh e-waste yang diproses secara haram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nik Nazmi berkata antara lain yang dipersetujui adalah pelaksanaan larangan penggunaan beg plastik jinjit sekali guna di Hutan Simpan, Taman Negara/Negeri, Taman Laut serta Tapak Warisan Geologi dan Geotapak di seluruh negara.
“Larangan penggunaan beg plastik jinjit ini turut dilaksanakan di premis-premis tetap termasuk di pasar raya, kedai serbaneka, kedai serbaneka stesen minyak, restoran makanan segera, kedai rangkaian, farmasi dan lain-lain premis berkaitan.
“Ia sebagai langkah proaktif dalam mengurangkan pencemaran plastik di negara ini dan kaedah pelaksanaan akan diperhalusi dan disesuaikan mengikut negeri masing-masing,” katanya.
Tambahnya Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) juga menyebar luas Panduan Amalan Hijau Majlis Rumah Terbuka Lestari yang merupakan inisiatif untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan amalan mesra alam sepanjang musim perayaan.
“Melalui inisiatif ini, Kementerian menyeru semua pihak agar mengadaptasi gaya hidup yang lebih lestari ketika musim perayaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata mesyuarat MEXCOE ini mencerminkan komitmen semua pihak dalam memastikan alam sekitar terus dipelihara serta dipulihara dan beliau optimis keputusan mesyuarat itu akan memberi impak positif kepada ekosistem negara dan meletakkan Malaysia sebagai contoh negara yang serius dalam menangani cabaran alam sekitar global.
“Langkah seperti mengurangkan penggunaan plastik, mengelakkan pembaziran dan menggalakkan pengurusan sisa secara lestari bukan sahaja membantu memelihara alam sekitar tetapi juga mencerminkan tanggungjawab kita sebagai masyarakat prihatin terhadap kelestarian bumi.
“Sebagai teras utama, Kementerian akan terus memperkukuhkan kerjasama dengan semua pihak berkepentingan termasuk Kerajaan Negeri, sektor swasta dan masyarakat dalam menerapkan amalan lestari serta memperkasakan kesedaran awam terhadap tanggungjawab bersama dalam menjaga alam sekitar,” katanya – WILAYAHKU