Berita

Teater Tanggang bakal dipentaskan Oktober ini

ANTARA babak kisah cinta dalam Teater Jelitawan dan Lelaki Haiwan yang dipentaskan di MaTiC baru-baru ini.
- Diterbit 23 Julai 2023 3:00 AM MYT

PROGRAM Citra Budaya: Colours of Malaysia (COM) 2023 memberi peluang ­kepada penggiat seni khususnya ­untuk mempersembahkan ­karya-karya menarik dan sesuai dengan ­penerimaan masyarakat masa kini.

Terbaharu ­teater ­berjudul Jelitawan dan Lelaki Haiwan yang dipentaskan ­selama dua hari di Auditorium Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur ­berjaya mencatat kehadiran lebih 900 orang.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd Amran Mohd Haris berkata ­karya yang ­diadaptasi ­daripada ­cerita rakyat Perancis La Belle Et La Beta atau ­lebih ­dikenali Beauty and The Beast oleh Jeane Marie Leprince De Beaumount diberi garapan baharu dalam versi bahasa Melayu.

“Naskhah ini dipilih kerana mempunyai jalan cerita yang unik sekali gus ­mampu memberi pelbagai emosi ­kepada penonton ­selain turut menerapkan ­elemen Melayu seperti unsur ­keagungan dan kemelayuan pada set pentas, pemakaian busana ­berkonsepkan ­budaya, seni tari termasuklah drama muzikal,” ujarnya.

Terdahulu, teater ­tersebut julung kali dipentaskan ­pada 14 dan 15 Julai lalu ­bersempena tahun keempat pelaksanaan COM 2023.

Sementara itu, Pengarah merangkap Pengurus Persembahan, Shaikh Hasrul Shaikh Anuar turut me­rakamkan ucapan terima kasih kepada penonton yang hadir.

“Konsep dan ­pemilihan cerita memainkan­ ­peranan penting ­mendekati ­masyarakat tidak kira ­bangsa dan kategori umur merangkumi kanak-kanak, remaja mahupun golongan dewasa.

“Pada 13 ­hingga 15 Oktober 2023 akan ­datang pula, orang ramai ­berpeluang menyaksikan teater Tanggang. Sebarang maklumat lanjut berkenaan teater tersebut boleh ­melayari laman Facebook Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan Instagram @my­senibudaya,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas