Berita

“TCO terpakai kepada semua termasuk saya” Anwar jawab dakwaan Samsuri

Foto: BERNAMA
- Diterbit 11 April 2025 3:40 PM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa semua kenamaan termasuk dirinya turut tertakluk kepada penguatkuasaan Travel Control Office (TCO), sekali gus menolak dakwaan kononnya tindakan ke atas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berunsur politik.

“Saya pun ada, semua VIP ada,“ ujar beliau secara ringkas tetapi tegas ketika ditanya media selepas program Meet Anwar @IIUM di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, hari ini.

Kenyataan itu hadir susulan pendedahan mengejut Ahmad Samsuri semalam yang mendakwa dirinya telah diletakkan di bawah status TCO oleh pihak berkuasa sejak pertengahan tahun lalu – satu tindakan yang menurutnya mencurigakan dan tidak pernah dijelaskan secara rasmi.

Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS menyifatkan tindakan itu sebagai pelik dan mendakwa beliau hanya menyedari perkara tersebut apabila menghadapi kesulitan untuk ke luar negara.

Semalam, Ahmad Samsuri mempersoalkan mengapa seorang pemimpin negeri yang tidak pernah terlibat dengan sebarang isu keselamatan atau jenayah boleh dikenakan sekatan perjalanan sebegitu rupa. Beliau juga menimbulkan persoalan sama ada langkah itu bersifat “terpilih” atau berunsur tekanan politik terhadap pembangkang.

Namun, penjelasan Anwar hari ini dilihat cuba meredakan naratif tersebut dengan menyatakan bahawa TCO bukan sesuatu yang luar biasa bagi pemimpin berprofil tinggi, termasuk dirinya sendiri.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika mengulas perkembangan sama menganggap dakwaan Ahmad Samsuri yang dilabel dan ditanda sebagai individu di bawah status ‘Travel Control Office/Order’ (TCO) dalam sistem kawalan sempadan oleh pihak berkuasa sekadar meraih simpati berikutan Pilihanraya Kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Ayer Kuning

“Mungkin dia memohon simpati sebab Ayer Kuning (Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning).

“Menteri Dalam Negeri mengatakan tak ada, kenapa perkara ini perlu,” katanya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas