RAMADAN menjelma lagi dan sudah tentu masjid-masjid akan penuh dengan jemaah yang mahu beriktikaf khususnya menunaikan solat sunat tarawih pada sebelah malamnya.
Ramadan bulan yang mulia dan ia mengandungi 1,001 rahmat dan keberkatan dengan pahala amal digandakan.
Pada malam-malamnya ‘tersembunyi’ lailatulqadar, malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan.
Matlamat utama puasa di bulan Ramadan adalah mencapai sifat takwa, iaitu berbalik kepada asas agama, taat melaksanakan segala suruhan dan menjauhi segala larangan Allah SWT.
Pada bulan ini juga, pelbagai majlis ilmu diadakan, termasuk sesi tazkirah, baik selepas solat Zuhur mahupun selepas Asar.
Biarpun begitu, ada juga pihak pengurusan masjid mahupun surau sebelum ini menyelitkan program tazkirah di sela-sela tarawih mahupun selepas solat Isyak.
Malah sebelum ini tular kerana tazkirah disampaikan dalam masa yang terlalu lama di pertengahan solat tarawih.
Ia menimbulkan rasa kurang senang jemaah terutama yang akan bekerja pada keesokan harinya.
Untuk itu di peringkat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), mereka menyarankan agar penyampaian tazkirah dilaksanakan selepas solat tarawih dan witir sepanjang bulan Ramadan.
Ini bagi memberi peluang kepada jemaah untuk mengimarahkan masjid dan surau di Wilayah Persekutuan dengan tersusun.

Pengarah JAWI, Hanifuddin Roslan berkata cadangan ini adalah sebahagian daripada usaha memastikan program keagamaan di masjid dan surau berjalan dengan lebih baik serta memberi manfaat kepada jemaah.
“JAWI telah mengeluarkan surat pengesyoran pada 12 Februari lalu sebagai rujukan kepada semua Pengerusi Jawatankuasa Masjid, Surau Jumaat, dan surau di Wilayah Persekutuan.
“Antara yang digariskan dalam surat tersebut adalah pelaksanaan tazkirah selepas solat tarawih dan witir bagi memastikan jemaah dapat mengikuti sesi pengisian rohani dengan lebih tenang,” katanya kepada Wilayahku.
Menurut Hanifuddin, pihaknya turut menekankan kepentingan kepada pentadbir serta jawatankuasa masjid dan surau bagi memastikan penceramah yang menyampaikan tazkirah mematuhi garis panduan yang ditetapkan.
“Semua penceramah perlu mendapat tauliah yang sah daripada pihak berkuasa agama bagi mengelakkan penyebaran ajaran yang tidak selari dengan Islam.
“JAWI tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang menyampaikan tazkirah tanpa tauliah dan mereka yang melanggar peraturan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta 559 Seksyen 11 (1).
“Kesalahan ini boleh membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya sekali,” tegasnya.
Beliau menegaskan bahawa setiap Pemegang Tauliah Mengajar di Wilayah Persekutuan telah diingatkan oleh watikah pelantikan yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan supaya tidak menyentuh isu-isu sensitif yang boleh menjejaskan keharmonian.
“Pelanggaran kepada perkara ini boleh menyebabkan seseorang itu hilang kelayakan untuk mengajar dan ditarik tauliahnya, ” katanya.
Menurut Hanifuddin pihaknya turut menjalankan pemantauan berterusan bagi memastikan tazkirah yang disampaikan tidak mengandungi unsur ekstremisme, fahaman sesat, atau elemen politik yang boleh menjejaskan perpaduan umat Islam.
“Kami mempunyai mekanisme pemantauan tersusun yang melibatkan Bahagian Penguatkuasaan JAWI, Pegawai Tadbir Agama Zon (PTAZ), serta medium aduan awam melalui pautan [email protected],” tambahnya.
Jelas beliau pihaknya berharap langkah ini dapat memperkukuh penghayatan Ramadan dalam kalangan umat Islam serta memastikan pengisian rohani di masjid dan surau terus memberi manfaat kepada masyarakat. – WILAYAHKU