GANDINGAN tiga selebriti iaitu Datuk Awie, Ustaz Azhar Idrus dan Zizan Razak menjadi tarikan dalam penganjuran karnival gaya hidup dan makanan, Makar Fest 2.0 yang bakal berlangsung di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, Terengganu.
Orang kuat Makar Fest anjuran bersama Red Bean Productions & Agency dan Sunburst KL, Issey Fazlisham berkata, Awie adalah ikon muzik tanah air yang mewakili semua generasi dan terus relevan sebagai penghibur hebat tanah air.
“Kalau pada Makar Fest lepas kita bawakan sifu Datuk M. Nasir kali ini Datuk Awie menjadi pilihan kerana beliau figura yang sesuai iaitu bukan saja dalam bidang muzik malah turut mempunyai hobi menunggang motor berkuasa tinggi serta penampilan fesyen beliau yang tersendiri.
“Bersesuaian dengan Makar Fest itu sendiri yang menggabungkan gaya hidup, fesyen dan makanan di mana Datuk Awie bakal mengadakan persembahan pada 2 Mei sebelah malam,” katanya mengenai karnival yang bakal berlangsung pada 1 hingga 3 Mei ini.
Bercerita lanjut, Issey berkata Awie bakal membawakan lagu popular nyanyiannya bagi menghiburkan pengunjung karnival pada persembahan Malam Muzikal Makar itu nanti.
Lebih menarik pendakwah terkenal Ustaz Azhar Idrus bakal membuka program Makar Fest 2.0 menerusi sesi “Malam Dialog Anak Muda” pada hari pertama berlangsung.
Issey yang juga pelakon dan penyampai radio berkata penampilan Ustaz Azhar juga seiring dengan konsep karnival itu yang turut mengangkat majlis ilmu buat pengunjung yang hadir.
“Dengan menyasarkan golongan muda, jadi kami mahu semua yang hadir mendapat manfaat dalam semua hal dari bersantai sehinggalah mendapat perkongsian ilmu.
“Ustaz Azhar sendiri juga ikon anak muda dan dikenali pendakwah yang disenangi oleh golongan ini jadi kita percaya beliau akan memberikan pengisian yang terbaik buat hadirin,” katanya.

Pelakon dan pelawak Zizan Razak akan menjadi moderator pada sesi Malam Dialog Anak Muda dengan turut menampilkan Ustaz Kamaruzzaman.
Tambah Issey, Makar Fest kali ini juga jatuh pada hari cuti umum iaitu hari Buruh di mana sesuai untuk semua hadirin meluangkan masa hujung minggu mereka di karnival berkenaan.
Selain Awie, persembahan Malam Muzikal Makar pada sebelah malam 2 Mei juga bakal menampilkan penyanyi popular Amir Masdi dan penyanyi lama Azman Kulit.
Acara ini terbuka kepada umum dan masuk adalah percuma menampilkan kira-kira 130 vendor yang menawarkan pelbagai aktiviti menarik termasuk bazar makanan, pameran, dan program komuniti.
Selain Issey, karnival itu turut menampilkan Fizie Roslan dan Aswad Jalil sebagai pengacara.
Untuk maklumat lanjut dan kemas kini terkini, anda boleh mengikuti akaun rasmi Instagram @makarfest. – WILAYAHKU