Cakna

Tarik teh pada ketinggian 300 meter

- Diterbit 19 Januari 2024 10:00 AM MYT

MENARA Kuala Lumpur menjemput orang ramai menyerlahkan bakat dalam ‘menarik’ teh tarik dengan aksi-aksi kreatif di ketinggian 300 meter dari aras tanah dengan menyertai Cabaran Teh Tarik @ KL Tower pada 27 dan 28 Januari ini.

Menurut Menara KL, cabaran tersebut akan berlangsung dari pukul 2 petang hingga 5 petang dan dijangka akan disertai kira-kira 50 peserta yang akan bertanding untuk menunjukkan kemahiran kreatif mereka dalam membuat serta menarik teh.

“Pusingan akhir diadakan di Sky Deck di mana mereka akan diadili oleh tiga orang juri yang cukup berpengalaman.

“Peserta berpeluang untuk memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM5,000 untuk pemenang pertama, RM3,000 bagi pemenang kedua dan RM2,000 untuk pemenang ketiga,” katanya.

Tambahnya, orang ramai yang ingin mendaftar untuk Cabaran Teh Tarik ini, boleh mengimbas kod QR dalam poster atau di https://docs.google.com/forms/d/1IdHWYUPDvVd80lFbUXAo2nB2OxcaPqHA4bBzntM9h_4/prefill atau layari platform media sosial rasmi KL Tower untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Pada hari yang sama, Menara KL turut akan menganjurkan program ‘Surrr! In the Sky’ @ KL Tower- Festival Nasi Kandaq bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam di Tower Terrace, Menara Kuala Lumpur.

“Festival yang akan diadakan dua hari ini telah membawa lebih daripada 10 pengusaha ternama Nasi Kandar terkenal dari Pulau Pinang antaranya Hameediyah, Kapitan, Yusuf Relau, Jamal Mohamed dan banyak lagi,” ujarnya.

Lebih menarik, Menara KL berkata pada kemuncak festival ini, pengunjung juga berpeluang menjamu selera di Sky Deck sambil menikmati pemandangan indah berlatar belakangkan bandaraya Kuala Lumpur.

“Kami menawarkan pakej berharga RM60 untuk satu keluarga merangkumi dua dewasa dan dua kanak-kanak atau RM20 setiap seorang. Ia bermula dari pukul 8 malam hingga 11 malam pada hari Sabtu dan Ahad,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas