Berita

Tarik diri bertanding AJL38, Jamal Abdillah ada alasan tersendiri

- Diterbit 19 Februari 2024 2:15 PM MYT

PENYANYI  popular Datuk Jamal Abdillah,65, mempunyai alasan tersendiri menarik diri daripada bertanding dalam Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38).

Jamal sepatutnya berduet dengan Wany Hasrita menerusi lagu KuCuma dalam anugerah berprestij tersebut.

Menurut Pengarah Urusan FMC Music, C.F Ho, keputusan itu dibuat setelah mendapat persetujuan bersama antara pihak Jamal, pihak penerbitan dan FMC Music mewakili pencipta lagu.

“Dengan ini kami FMC Music syarikat yang menerbitkan lagu Ku Cuma mengesahkan bahawa  Jamal Abdillah telah menarik diri dari menyertai AJL38 tahun ini.

“Pihak kami tidak dapat berbuat apa apa jika keputusan itu telah dibuat sendiri oleh Jamal dan dipersetujui oleh pihak penerbitan.

“Sebelum itu Jamal sendiri ada memberitahu saya untuk menarik diri, namun saya mencadangkan agar  Jamal memaklumkan sendiri pada pihak penerbitan AJL kerana perkara ini terletak di luar bidang kuasa kami selaku syarikat yang menerbitkan lagu,” katanya.

Dalam masa yang sama, menurut laporan portal Mstar, Jamal yang mempunyai persembahan besar pada tarikh AJL38 itu, turut tidak berpuas hati susulan peserta bertanding secara percuma sedangkan pihak produksi menjual tiket kepada penonton yang ingin menyaksikan AJL38.

Jamal juga mengaku sekarang bukan masanya untuk beliau mengejar populariti, sebaliknya melakukan sesuatu yang boleh menjaga kebajikan artis.

Dalam perkembangan lain, setelah berbincang dengan pencipta lagu KuCuma, Ezra Kong, FMC Music  telah bersetuju untuk menamakan penyanyi  Afieq Shazwan sebagai penganti Jamal  untuk berduet bersama Wany Hasrita di AJL38.

Keputusan pemilihan ini dibuat berdasarkan kredibiliti Afieq yang diyakini mampu memberikan persembahan dan kerjasama yang baik dengan Wany Hasrita. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas