Berita

Tarif Trump: Malaysia teroka pasaran baharu

- Diterbit 10 April 2025 10:45 AM MYT

MALAYSIA akan meneruskan strategi sedia ada untuk mempelbagaikan perdagangan dan meneroka pasaran baharu serta memperdalam hubungan dengan pasaran sedia ada.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, ia sebagai langkah berwaspada terhadap ketidaktentuan semasa terutamanya melibatkan ketidaktentuan dasar tarif Amerika Syarikat (AS).

“Amerika Syarikat sekali lagi mengubah dasar tarifnya, menangguhkan kenaikan untuk banyak negara tetapi meningkatkan tekanan ke atas China.

“Kita perlu mengakui bahawa ketidaktentuan ini menimbulkan persoalan tentang hala tuju perdagangan global dan impaknya kepada ASEAN. Perubahan terkini ini pastinya antara topik perbincangan dalam Mesyuarat Menteri-menteri Ekonomi ASEAN,” katanya.

Tengku Zafrul menambah, Malaysia juga sedang giat menilai implikasi daripada perubahan-perubahan ini dan kekal komited untuk bekerjasama dengan rakan-rakan ASEAN.

Ini katanya, dalam mengurangkan gangguan, memperkukuh daya tahan ekonomi serantau dan memperjuangkan hubungan perdagangan yang seimbang serta stabil.

Perpaduan ASEAN dan integrasi ekonomi serantau jelasnya, akan menjadi lebih penting berbanding sebelum ini.

“Kami mengalu-alukan sokongan daripada rakan-rakan yang berkongsi visi ini dan mahu melihat kita semua berjaya.
Malaysia sentiasa menjadi dan akan terus menjadi rakan perdagangan dan pelaburan yang terbuka kepada semua negara, termasuk China dan Amerika Syarikat.

“Kami komited untuk mencari penyelesaian yang saling menguntungkan dalam isu perdagangan dengan Amerika Syarikat,” jelasnya.

Beliau memberitahu, kerajaan juga akan meningkatkan usaha dalam agenda pembaharuan ekonomi negara untuk memastikan Malaysia terus berdaya saing.

“Keutamaan kami adalah untuk mengharungi landskap yang sentiasa berubah ini sambil melindungi kemakmuran ekonomi negara kita,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas