Berita

Tarif baharu belum dimuktamadkan ketika pengumuman dibuat TNB

- Diterbit 5 Mac 2025 3:33 PM MYT

KERAJAAN menegaskan bahawa tiada kenaikan tarif elektrik bagi pengguna di Semenanjung Malaysia meskipun terdapat pengumuman awal oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang tidak mencerminkan keputusan sebenar kerajaan.

Menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, mekanisme Incentive-Based Regulation (IBR) yang telah digunakan sejak 2014 menetapkan bahawa purata tarif asas elektrik dikaji setiap tiga tahun sekali oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).

“Berdasarkan mekanisme ini, kerajaan telah bersetuju pada 13 Disember 2024 untuk menetapkan kadar purata tarif asas bagi Regulatori Keempat (RP4) yang berkuat kuasa 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2027.

“Bagaimanapun, jadual tarif baharu belum dimuktamadkan ketika pengumuman dibuat oleh TNB,” kata PETRA dalam jawapan bertulis di parlimen.

Menurut PETRA, pada 20 Disember 2024, kerajaan mengeluarkan kenyataan rasmi bertajuk “Pengekalan Tarif Elektrik di Semenanjung: Kerajaan Menyediakan Subsidi Elektrik Sebanyak RM5.96 Bilion bagi Tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2025”, sekali gus mengesahkan bahawa semua pengguna akan terus membayar kadar tarif yang sama seperti sebelum ini.

“Pengumuman yang dibuat oleh TNB tidak mencerminkan keputusan penuh kerajaan kerana pada ketika itu, jadual tarif baharu masih belum dimuktamadkan,” katanya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas