JABATAN Mineral dan Geosains (JMG) Sabah telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM141,000 bagi kerja-kerja menaik taraf Tapak Warisan Terowong Arang Batu Tanjung Kubong bagi fasa pertama.

Menurut kenyataan Jabatan Hal Ehwal Korporat Perbadanan Labuan, peruntukan yang disalurkan itu membabitkan kerja-kerja menaik taraf iaitu kerja-kerja pembersihan, laluan masuk (pavement), dan pemuliharaan monumen terowong.
“Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Sabah penyaluran peruntukan itu bagi membangunkan tapak-tapak di sekitar Geopark Labuan selari dengan statusnya sebagai Geopark Kebangsaan Malaysia.
“Selain faktor sejarah, Tapak Warisan ini juga adalah sebahagian laluan bagi peminat aktiviti kembara di kawasan utara Labuan yang melibatkan laluan Bukit Merinding, Bukit Minyak Gas, Bukit Kubong dan Tanjung Kubong.
“Pencinta sejarah dan pelancong juga boleh memperolehi maklumat sejarah Terowong dan perlombongan arang batu ini di Muzium Labuan, Jalan Dewan di pusat Bandar dan di Muzium Chimney, Jalan Tanjung Kubong, Kg. Lubok Temiang,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Majlis penyerahan semula selepas kerja-kerja naik taraf tapak warisan itu diserahkan oleh Pengarah JMG Sabah, Frederick Francis Tating kepada Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail. -WILAYAHKU