Berita

Tanjong Sepat destinasi pelancongan

- Diterbit 9 Julai 2024 3:05 PM MYT

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Sepat, Yang Berhormat (YB) Borhan Aman Shah mahu menjadikan kawasan Tanjong Sepat antara kawasan tumpuan pelancong.

Hasrat murni tersebut sekali gus mampu menjana ekonomi penduduk setempat di kawasan tersebut.

Dalam masa yang sama, beliau yang juga Exco Perumahan dan Kebudayaan merupakan seorang pemimpin berjiwa rakyat yang sentiasa sabar mendengar masalah penduduk serta mencari solusi terbaik.

Berusaha memberikan yang terbaik buat warga Tanjong Sepat, walaupun banyak cabaran yang harus dilalui namun itu tidak langsung membataskan semangatnya.

Ikuti wawancara eksklusif YB Borhan Aman Shah bersama Wartawan Wilayahku, Syed Hazique Syed Nor bagi menceritakan misi dan visi beliau.

Apakah kejayaan yang telah dilakar YB sepanjang bergelar wakil rakyat di kawasan Tanjong Sepat?

Setakat ini, syukur, pembangunan khususnya di kawasan Kampung Batu Laut terus menunjukkan tanda positif berbanding dahulunya agak usang.

Kini kawasan tersebut telah dibersihkan dan dijadikan antara kawasan pelancongan apabila orang ramai boleh melepak di tepi pantai tersebut.

Saya juga turut terlibat dalam pembangunan di kawasan-kawasan Industri Kecil Sederhana (IKS) untuk terus memastikan pengusaha atau usahawan-usahawan tempatan terus berniaga dengan menerima bantuan-bantuan khusus dari kerajaan negeri dan persekutuan.

Malah, saya dan agensi-agensi kerajaan terlibat turut bersama membangunkan beberapa kedai yang usang dan telah membaik pulih bagi membantu ekonomi penduduk tempatan.

Apakah antara cabaran sepanjang YB berkhidmat?

Jika hendak diikutkan memang banyak. Amanah yang diberikan ini bukan satu perkara atau tanggungjawab mudah untuk digalas.

Saya bersyukur kerana mempunyai pasukan yang mampu bekerjasama di samping penduduk yang saban hari memudahkan urusan kami.

Antara cabaran agak besar ialah penternakan khinzir di Tanjong Sepat, walaupun berlarutan lebih 50 tahun, kita ada cadangan dari kerajaan dan swasta untuk jadikan pig farming farm moden. Ia masih dalam perbincangan, ada syarikat berminat dan penternak sudah setuju untuk dipindahkan tetapi ada syarat, kalau dapat direalisasikan, saya percaya akan dapat memakmurkan lagi keharmonian hidup di kawasan saya.

Pada saya antara isu yang mendapat perhatian ialah isu lalat yang terdapat di kawasan ladang ternakan.

Ada sesetengah kilang yang masih menggunakan cara lama ternakan yang membawa kepada permasalahan lalat yang banyak.

Masalah lalat juga boleh menjurus kepada masalah kesihatan yang berisiko, justeru itu, kita ambil perhatian serius dalam isu ini.

Kita bersama agensi-agensi kerajaan meminta penternak-penternak untuk menggunakan kaedah ternakan konvensional yang lebih bersih dan tersusun.

Selain itu, saya juga turut menyelesaikan masalah penghubung jalan, di beberapa kawasan yang mampu mengurangkan masa dan minyak buat penduduk.

Daripada segi komunikasi pula, kita ada pasukan yang saling menguruskan perihal penduduk dengan memberi sepenuh perhatian terhadap permasalahan mereka.

Ia termasuk juga media sosial saya dan saya juga hampir setiap hari menjengah sebentar ke kedai-kedai kopi bagi melihat atau mendengar luahan hati rakyat.

Hubungan saya bersama ketua-ketua kampung di sini juga erat dan ia memudahkan kami untuk bekerjasama untuk terus membantu memudahkan urusan penduduk.

Apakah fokus yang YB terapkan kepada pembangunan di kawasan tersebut?

Saya lihat kawasan saya ada potensi untuk dijadikan kawasan pelancongan di mana kita mempunyai pantai serta laut yang boleh menarik ramai pelancong bukan sahaja tempatan malah antarabangsa.

Selain itu, kita mempunyai keistimewaan daripada segi makanan yang hanya boleh diperoleh di kawasan ini sahaja selain daripada produk-produk IKS.

Fokus yang sebenarnya adalah untuk membantu usahawan-usahawan tempatan di samping menjana ekonomi bukan sahaja setempat malah negara juga.

Bagaimana YB agihkan peruntukan secara adil kepada penduduk setempat?

Dari segi peruntukan, alhamdulillah, di sini terdapat kira-kira 10 buah kampung yang menerima peruntukan.

Saya sudah tetapkan setiap kampung berapa banyak peruntukan mereka terima setiap tahun tidak termasuk peruntukan-peruntukan tambahan.

Daripada situ kita mahu lihat penduduk lebih membangun, lebih menjana ekonomi, membawa keluarga ke arah yang lebih baik daripada peruntukan-peruntukan yang diterima itu.

Selain daripada itu, saya bersama pasukan juga memantau permohonan-permohonan peruntukan tambahan yang diperlukan seperti penambahbaikan infra dan sebagainya.

Kita juga adakan program-program kemudahan asas selain peruntukan daripada kerajaan negeri yang boleh dipohon khusus buat penduduk setempat.

Bagaimana YB perangi miskin tegar di kawasan Tanjong Sepat?

Miskin tegar adalah salah satu perkara yang diberi perhatian serius daripada Kerajaan Persekutuan bagi mengurangkan atau menghapuskan terus golongan tersebut.

Kalau ikut statistik, di kawasan ini, miskin tegar memang kosong namun ia bukan bererti kita tidak lakukan apa-apa bagi terus membasmi miskin tegar.

Sebenarnya, saya galakkan penduduk untuk menjana pendapatan sendiri, daripada situ mereka mampu mengubah nasib keluarga mereka.

Sudah tentunya kita beri bantuan daripada segi modal, tempat berniaga dan bermacam lagi untuk mereka terus menjana pendapatan tetap. Kita tidak mahu mereka dihimpit masalah kewangan atau ekonomi ini.

Saya juga mensarankan penduduk terutamanya suri rumah untuk menjana pendapatan sendiri dengan kreativiti seperti gubahan bunga, berniaga secara dalam talian dan sebagainya yang boleh dilakukan secara mudah.

Apakah harapan YB kepada penduduk?

Besar harapan saya khususnya buat penduduk di kawasan DUN Tanjong Sepat ini. Saya sangat berhasrat untuk menyediakan kemudahan seperti trem atau buggy yang memuatkan kira-kira 10 ke 15 penumpang untuk dibawa berjalan keliling pantai atau kawasan-kawasan tumpuan pelancongan.

Seperti saya katakan, matlamat utama ialah untuk menjadikan kawasan Tanjong Sepat sebagai kawasan tumpuan pelancongan sekali gus menjana ekonomi penduduk dan negara.

Saya mahu kawasan ini dipenuhi pelancong dari dalam mahupun luar negara yang melawat sekitar kampung dengan mencuba atau mendalami keunikan yang terdapat di sini.

Kita ada kemudahan yang tiada di tempat-tempat lain, kita cuba sebaik mungkin untuk memajukan kawasan di sini dengan kerjasama semua pihak. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas