SEMUA pihak diingatkan agar tidak terburu-buru mengeluarkan pandangan berhubung hukum menunaikan ibadah haji pada musim pilihan raya sebelum mendapatkan penjelasan daripada pihak berautoriti seperti mufti.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menegaskan bahawa hukum agama bukan perkara yang boleh diputuskan secara sewenang-wenangnya tanpa merujuk kepada mereka yang berkelayakan dalam bidang syariah.
“Saya mengambil maklum perbincangan yang sedang hangat dalam kalangan masyarakat berkaitan hukum menunaikan ibadah haji semasa musim pilihan raya berbanding tanggungjawab mengundi.
“Sehubungan itu, saya ingin mengingatkan semua pihak agar tidak terburu-buru mengeluarkan pandangan hukum secara individu tanpa merujuk kepada pihak berautoriti seperti para Mufti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hukum agama memerlukan penelitian mendalam, kefahaman menyeluruh serta disiplin ilmu yang tinggi, justeru masyarakat perlu bertenang dan menunggu penjelasan rasmi daripada institusi berwibawa.
Mohd Na’im turut mengingatkan bahawa perkara melibatkan ibadah dan demokrasi harus ditangani dengan cermat bagi mengelakkan kekeliruan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
“Adalah amat penting untuk kita menjaga ketertiban masyarakat dan tidak mencetuskan kekeliruan yang boleh mengganggu keharmonian, apatah lagi apabila ia melibatkan ibadah yang merupakan rukun Islam serta proses demokrasi yang penting bagi negara.
“Marilah kita mengutamakan ilmu dan adab dalam membincangkan isu-isu agama, serta sentiasa merujuk kepada saluran yang betul demi menjaga kesucian Islam dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Terdahulu, kenyataan Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam satu ceramah politik sempena kempen Pilihanraya Kecil Dun Ayer Kuning yang memberikan peringatan supaya masyarakat Islam di negara ini perlu mengutamakan kemenangan politik dan perlu menangguhkan hasrat menunaikan ibadah umrah dan haji.
Abdul Hadi mendakwa ketetapan berkenaan dibuat dengan mengambil pedoman peristiwa Rasulullah SAW dihalang melaksanakan umrah sehingga termetrai perjanjian Hudaibiyah sekali gus mendakwa kemenangan politik tidak boleh ditangguhkan dan Islam perlu berkuasa.
Polemik tersebut timbul susulan kenyataan dan perbincangan dalam media sosial berkaitan kemungkinan bertembungnya tarikh ibadah haji dengan tempoh pilihan raya umum atau negeri. Sebilangan pihak mengutarakan pandangan bahawa menunaikan haji wajib ditangguhkan sekiranya mengganggu tanggungjawab mengundi.-WILAYAHKU