APABILA Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merancang yang terbaik buat rakyat, masih ada segelintir netizen mempertikaikannya termasuk baru-baru ini, Anwar mengumumkan komitmen kerajaan membabitkan projek mega terpaksa ditangguhkan seketika kerana perlu menyelesaikan beberapa isu tertunggak.
Maka, mulalah muncul suara-suara sumbang netizen memperlekeh kemampuan Anwar mentadbir negara. Dakwa mereka, Anwar umum bawa banyak pelabur ke Malaysia tetapi tiada hasil sekali gus menganggap pemimpin utama negara itu bercakap bohong.
Mungkin ada antara mereka tidak faham, pelaburan sudah tentu mengambil masa atau tempoh tertentu untuk membuahkan hasil.
Susulan itu, Anwar lebih mementingkan kesejahteraan rakyat. Buat masa ini, kerajaan berdepan kekangan dan kini memberi tumpuan kepada projek membabitkan rakyat seperti mitigasi banjir dan infrastruktur asas.
Sehubungan itu, katanya, keputusan untuk menghidupkan semula projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura bergantung kepada pembabitan sepenuhnya sektor swasta tanpa membebankan kerajaan.
“Mengenai HSR, pendirian kami adalah untuk menjemput pembabitan penuh sektor swasta kerana kerajaan ada kekangannya, isu seperti mitigasi banjir, pendidikan dan kesihatan yang menjadi keutamaan, sekurang-kurangnya untuk tempoh satu ke dua tahun akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong sempena lawatan rasmi rakan sejawatnya itu ke Malaysia baru-baru ini.
Pada 12 Januari tahun lalu, media melaporkan firma Jepun membuat keputusan membatalkan rancangan untuk terbabit dalam projek HSR.
Mengikut laporan agensi berita Jepun, Kyodo News yang memetik sumber, syarikat negara itu termasuk East Japan Railway Co, berharap untuk menggunakan sistem kereta api peluru Shinkansen Jepun dalam projek itu, tetapi mereka memutuskan ia akan menjadi terlalu berisiko tanpa sokongan kewangan kerajaan Malaysia.
Disember tahun lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dilaporkan berkata kabinet akan membuat keputusan sama ada untuk menghidupkan semula projek HSR Kuala Lumpur-Singapura pada awal bulan ini.
Bagaimanapun beliau berkata, kertas dasar mengenai projek itu, yang bertujuan mengurangkan masa perjalanan antara kedua-dua bandar kepada 90 minit, tidak akan menentukan sama ada projek itu benar-benar dihidupkan semula.
Katanya, ini kerana kerajaan masih perlu memulakan semula perbincangan dengan Singapura kerana HSR adalah projek rentas sempadan.
Menyentuh tentang Anwar mengutamakan rakyat, langkah kerajaan untuk memberi tumpuan kepada tiga isu iaitu banjir, pendidikan dan kesihatan juga harus dipuji kerana ketiga-tiga penting kepada kesejahteraan rakyat.
Banjir yang melanda tanpa mengira musim akibat perubahan iklim, prasarana pendidikan dan kesihatan yang perlu ditambah atau ditingkatkan membuktikan keprihatinan kerajaan.
Dengan menangguhkan projek mega termasuk HSR, wang yang sepatutnya mahu diperuntukkan untuk projek-projek berkenaan boleh disalurkan kepada isu yang lebih penting melibatkan hidup rakyat.
Perlu diingat bencana banjir kini semakin serius. Selain kerosakan harta benda, nyawa penduduk di kawasan terlibat juga terancam. Oleh itu, dengan peruntukan yang sedikit sebanyak diambil daripada projek mega tersebut sudah pasti lebih banyak langkah boleh dilakukan kerajaan membantu mangsa banjir.
Begitu juga pendidikan dan kesihatan yang amat memerlukan perhatian. Oleh itu, bajet projek mega boleh diberikan kepada projek ‘mega’ membina hospital dan kemudahan kesihatan lain yang dapat dirasai oleh golongan miskin. – WILAYAHKU