Artikel

Tangani warga asing

Foto: DBKL
- Diterbit 23 Oktober 2024 12:30 PM MYT

APABILA diberi lesen berniaga di bandar raya Kuala Lumpur bukan bermakna boleh menjalankan operasi niaga sesuka hati. Sebaliknya perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan dalam lesen. Berniagalah dengan jujur.

Tetapi ada segelintir peniaga memandang ringan aspek ini. Mereka tidak mematuhi peraturan.  Antara kesalahan dilakukan ialah menggaji pekerja asing tanpa permit. Ini adalah pelanggaran undang-undang yang serius.

Kerana itu kawan-kawan Kedai Kopi menyokong tindakan tegas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ke atas pemilik premis perniagaan terlibat yang dikesan melalui operasi DBKL. Sejak awal tahun sehingga kini‚ sekurang-kurangnya 1‚225 notis kompaun dikeluarkan terhadap para peniaga berkenaan.

Selain itu sebanyak 2‚261 barangan dirampas sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini. Beberapa buah premis disita kerana didapati diuruskan oleh warga asing. Turut ditutup premis perniagaan tanpa lesen sah‚ juga dikendalikan oleh warga asing.

Kesemua tindakan ini adalah mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016 dan Undang-Undang Kecil Pasar Borong (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2002.

Bagi kawan-kawan Kedai Kopi‚ perbuatan menggaji pekerja asing dan pekerja asing mengendalikan perniagaan secara haram‚ tidak wajar dibiarkan. Ia mesti dibanteras agar tidak menjadi barah yang sukar dikawal.

Oleh itu tindakan tegas mesti diambil terhadap yang terlibat. Dalam beberapa kes‚ pihak DBKL sendiri mengesyorkan pembatalan lesen perniagaan terhadap peniaga yang menggaji pekerja asing. Ini menyerlahkan DBKL sangat mengambil berat isu berkenaan.

Pihak DBKL akan menjalankan operasi penguatkuasaan berterusan menangani isu warga asing ini‚ baik yang makan gaji atau berniaga sendiri secara haram.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas