DALAM usaha menyahut seruan di peringkat global, kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menganjurkan Hari Cuci Malaysia: Program Pembersihan Mega Sempena World Cleanup Day di Fasiliti Inovasi Kitar Semula (FIKS), Presint 5, Putrajaya.
Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, acara global tahunan itu dilaksanakan bertujuan untuk menangani isu pencemaran sisa yang semakin meningkat selain menanam kesedaran terhadap tindakan pembersihan awam di segenap lapisan masyarakat.
“Inisiatif dengan kerjasama Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ini juga adalah seiring dengan hasrat dan aspirasi Kerajaan MADANI yang berteraskan kepada kemampanan dan kesejahteraan masyarakat.
“Hari Cuci Malaysia ini merupakan kempen gotong-royong mega secara bersepadu di seluruh negara bagi memastikan Malaysia sentiasa bersih, hijau, indah dan mampan.
“Selain daripada itu, kita juga menghadapi masalah tapak pelupusan sampah haram yang bercambah biak di seluruh negara,” ujarnya.
Dalam pada itu, Kor Ming berharap pelaksanaan program ini dapat mengatasi masalah pengurusan sisa pepejal selain daripada mengoptimumkan tapak pelupusan sampah sedia ada supaya tiada lambakan sisa berlebihan.
Terdahulu, program pembersihan mega yang melibatkan 156 pihak berkuasa tempatan (PBT) ini berkonsepkan gotong-royong yang melibatkan kerja-kerja pembersihan kawasan, pembersihan dan penutupan tapak sampah haram, kempen kitar semula, kempen hindar plastik sekali guna, cucian premis, parit dan longkang, ploging, pencucian siar kaki dan pencucian jalan.
Selain kerja-kerja pembersihan, tiga rekod The Malaysia Book of Records (MBOR) turut dicipta dan dipecahkan iaitu bilangan penyertaan teramai serentak di seluruh negara dengan jumlah kutipan sisa pepejal terberat (sisa isi rumah) dan masa gotong-royong paling lama selama 12 jam.
Pengiktirafan rekod ini adalah bukti komitmen KPKT dan rakyat Malaysia yang menjayakan kempen ini sekali gus diabadikan dalam MBOR untuk tatapan generasi akan datang.
Sebagai rekod, program ini mendapat kerjasama strategik daripada Perbadanan PR1MA Malaysia menerusi penglibatan empat residensinya iaitu Residensi Bandar Puteri Jaya 1 dan 2, Kedah; Residensi Seri Mahkota Maju, Pahang dan Residensi Tebrau, Johor. Setiap residensi diwakili oleh 50 orang peserta yang menjadikannya berjumlah 200 orang peserta.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Persekitaran Mampan) KPKT, Datuk Saidatu Akhma Hassan; Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn Bhd, Badrulhisyam Fauzi. – WILAYAHKU