DALAM usaha meningkatkan kualiti penyampaian penjagaan kesihatan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalin kerjasama strategik global sekali gus menjadikan Malaysia destinasi pelancongan kesihatan terkemuka dunia.
Kerjasama itu merangkumi Agensi Pembangunan dan Perdagangan Amerika Syarikat (USTDA); Suruhanjaya Pelaburan dan Perdagangan Australia (Austrade) dan Suruhanjaya Tinggi British (BHC).
Jalinan tersebut dimeterai pada Majlis Malaysia International Healthcare (MIH) Megatrends 2024 yang julung kalinya diadakan di negara ini.
Berlangsung di Pavilion MCMC Future Healthcare Frontier, acara itu menandakan pencapaian signifikan dalam landskap penjagaan kesihatan negara.
Majlis tersebut disempurnakan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa serta Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
Menurut MCMC, kerjasama tersebut bertujuan menangani cabaran penjagaan kesihatan yang semakin mendesak pada masa hadapan.
Ini termasuk peningkatan penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis dan hipercholesterolemia, peningkatan populasi warga emas serta isu penjagaan kesihatan yang terhad di kawasan luar bandar.
“Perkhidmatan penjagaan kesihatan juga berdepan cabaran getir kerana demografi warga emas di Malaysia dijangka hampir menyamai populasi orang muda pada 2040.
“Di kawasan luar bandar, infrastruktur yang tidak mencukupi dan kekurangan profesional perubatan melebarkan lagi jurang yang telah lama wujud.
“Oleh yang demikian, kerjasama ini bertujuan untuk merapatkan jurang dengan memanfaatkan teknologi dan kepakaran maju dari Amerika Syarikat (AS), Australia dan United Kingdom untuk meningkatkan kualiti penyampaian penjagaan kesihatan untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.
MCMC menambah, pelancaran 5G oleh syarikat telekomunikasi membuka peluang mengembangkan sektor teleperubatan dan mengintegrasikan peranti kesihatan boleh pakai.
Langkah ini jelasnya, meletakkan Malaysia di barisan hadapan dalam transformasi penjagaan kesihatan global dengan syarikat telekomunikasi memainkan peranan penting memacu kemajuan ini.
“Penglibatan USTDA, Austrade dan BHC akan mempercepat penerapan penyelesaian terkini, membawa kepakaran global untuk menggalakkan inovasi, merangsang pertumbuhan dan menarik pelaburan langsung asing.
“Usaha ini akan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan kesihatan terkemuka sambil memperkukuh ekosistem penjagaan kesihatan tempatan,” kata MCMC.
MCMC menambah, kemasukan peneraju penjagaan kesihatan antarabangsa ke dalam pasaran Malaysia pula akan memacu kemajuan tempatan dengan memperkenalkan teknologi terkini melalui penyelesaian yang inovatif.
Malah katanya, peningkatan kepakaran ini akan menggalakkan hospital swasta meningkatkan perkhidmatan mereka, sekali gus menjadikan sektor penjagaan kesihatan lebih kompetitif pada masa hadapan.
Prasarana 5G di hospital
MIH Megatrends 2024 berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) menarik 5,000 peserta termasuk profesional kesihatan, peneraju industri, pegawai kerajaan, pelabur dan orang awam yang akan meneroka trend terkini yang akan membentuk masa depan penjagaan kesihatan.
Terdahulu Fahmi ketika ditemui berkata, hospital akan menjadi satu daripada tujuh kawasan yang diberikan keutamaan oleh MCMC dalam usaha menyelesaikan masalah kesalinghubungan.
Menurut beliau, ini disebabkan masih terdapat hospital kerajaan yang berdepan masalah liputan dalam bangunan untuk kegunaan telefon bimbit serta ketiadaan penyediaan prasana teknologi 5G yang sesuai dengan penggunaan aplikasi perubatan.
Beliau memberikan contoh di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) apabila terdapat sesetengah blok atau tingkat termasuk wad yang menghadapi masalah Internet.
Perkara sama turut beliau tumpukan kepada Hospital Serdang (kini dijenamakan semula sebagai Hospital Sultan Idris Shah).
“Kita perlu selesaikan masalah asas ini.
“Selain itu, kita ingin memastikan penyediaan prasarana 5G di hospital bagi membolehkan penggunaan aplikasi (perubatan),” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan keberadaan MCMC dan kementerian dalam MIH Megatrends 2024 adalah bertepatan kerana mengetengahkan kepentingan kesalinghubungan dalam sektor kesihatan terutamanya untuk beberapa aplikasi.
“Di MIH Megatrends ini, terdapat sesetengah aplikasi memanfaatkan Holo Lens yang membolehkan doktor pakar mengkaji cara terbaik menyelesaikan masalah kesihatan atau perubatan menerusi saringan atau imej yang dikumpulkan seperti MRI dan sebagainya.
“Kita juga melihat beberapa syarikat seperti TM One mula memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk membantu hospital melakukan persiapan dalam proses pengesahan janji temu. Ini sangat baru dan belum dilaksana secara meluas,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau berharap lebih banyak hospital sama ada awam atau swasta akan meneliti dan memanfaatkan aplikasi dan teknologi yang boleh digunakan dengan kelajuan 5G.
