Berita

Tanaman ubi kayu mencukupi tampung keperluan negara

- Diterbit 5 Julai 2024 12:26 PM MYT

KADAR Sara Diri (SSR) bagi tanaman ubi telah mencapai 100 peratus sejak tahun 2021 sekali gus menunjukkan tanaman yang dikeluarkan di dalam negara adalah mencukupi untuk menampung keperluan rakyat Malaysia.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu berkata pengeluaran ubi kayu mencatatkan peningkatan dari 39,387 tan metrik pada tahun 2021 kepada anggaran 47,992 tan metrik pada tahun 2023 dengan pengeluar utama adalah Negeri Johor.

“Bagi menyokong pengeluaran ubi kayu kementerian melalui Jabatan Pertanian telah melaksanakan Projek Peningkatan Pendapatan Pesawah Luar Jelapang (B40) yang menyasarkan peningkatan pendapatan kepada para pesawah luar jelapang, petani serta beliatani dan antara tanaman yang diberi fokus adalah tanaman ubi kayu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluaran) mengenai usaha yang sedang diambil untuk menggalakkan penanaman ubi kayu sejajar dengan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) serta insentif yang disediakan oleh Kementerian kepada industri ubi kayu ini.

Menurut Mohamad, sepanjang tempoh pelaksanaan tahun 2021-2024, sebanyak RM341,505 telah diperuntukkan bagi pelaksanaan projek ini melibatkan 51 orang peserta dengan keluasan 35.9 hektar serta pengeluaran hasil sebanyak 146.9 tan metrik.

“Kadar insentif bantuan adalah sebanyak RM15,000 per peserta per tahun dengan keluasan maksimum satu hektar.

“Fokus pelaksanaan projek penanaman ubi kayu pada masa kini adalah sebagai projek peningkatan pendapatan memandangkan SSR bagi tanaman ini telah mencapai 100 peratus,” katanya.- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas