PENYANYI popular Kaka Azraff menyarankan masyarakat mengambil inisiatif untuk menanam lebih banyak pokok bagi mengurangkan kesan cuaca panas dan kering yang melanda negara.
Menurut Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff, 31, ramai yang mengeluh setiap kali cuaca panas terik melanda, namun tiada usaha untuk mengurangkan kesannya.
Bagi Kaka yang sedang popular dengan lagu Janjiku, penanaman pokok-pokok
hijau adalah antara langkah terbaik apabila berhadapan dengan cuaca panas.
“Penanaman pokok-pokok baharu dapat membantu menyerap karbon dioksida dari udara yang akhirnya mengurangkan kesan gas rumah hijau. Ini sudah cukup membuktikan betapa pentingnya penanaman pokok.
“Mungkin ada yang cakap, apabila cuaca panas baru nak tanam pokok. Bagi saya, itu satu tanggapan yang salah.
“Kita semua tahu, cuaca panas yang melanda negara berlaku setiap tahun dan ia sukar dijangka. Kadang-kadang ia mengambil tempoh yang panjang.
“Dalam masa yang sama, kita perlu
menanam lebih banyak pokok bukan sahaja untuk kita, tetapi juga generasi masa hadapan,” jelas Kaka Azraff yang menekankan isu alam sekitar adalah tanggungjawab bersama dan bukan kerajaan semata-mata.
Bagi Kaka, sama ada masyarakat di bandar atau luar bandar bukanlah alasan untuk mengabaikan tanggungjawab terhadap alam sekitar.
“Saya tahu ada sesetengah masyarakat yang tinggal di bandar menjadikan alasan ruang sempit atau terhad dan kurangnya cahaya matahari untuk tidak menanam pokok.
“Sebenarnya ada banyak cara cuma pemikiran kita sudah terbiasa, kalau tanam pokok mestilah di atas tanah.
“Bagi mereka yang tinggal di rumah flat, apartment atau kondominium boleh menggunakan kaedah tanaman bertingkat untuk mengatasi ruang terhad.
“Senang saja, beli rak bertingkat untuk letak pasu. Tinggi mana tingkat rak itu biarlah bersesuaian dengan keadaan rumah.
“Rak bertingkat banyak dijual di
mana-mana pasar raya dan boleh juga dibeli secara atas talian,” ujarnya lagi.
Kaka juga memberi cadangan kepada
mereka yang tidak mahu rumahnya kotor dengan tanah, bolehlah mencuba Hidroponik iaitu kaedah menanam tanpa tanah.
“Melalui kaedah ini, anda boleh menanam pokok sayur-sayuran yang sesuai ditanam tanpa tanah.
“Cari sahaja di internet atau layari laman sesawang jabatan pertanian, pasti ada caranya,” ujarnya lagi.
Cadangan Kaka ini menunjukkan ruang terhad bukanlah alasan untuk tidak menanam pokok asalkan kita kreatif.
Apa yang penting adalah kemajuan
untuk sama-sama menjaga alam sekitar terutamanya apabila berhadapan cuaca panas.
Tentang kerjaya, selain sedang mempromosi lagu Janjiku, Kaka juga sedang menjalani penggambaran drama bersiri Pemuja Kubur (Astro Citra) bersama Elly Suriati, Beto Khusyairi dan ramai lagi.
Terdahulu, Kaka bersama Noki dan Loca B dinobatkan sebagai Juara Anugerah Jualan Lagu ke-35 menerusi lagu Gila ciptaan Ezra Kong,Noki dan Loca B. – WILAYAHKU