PIHAK berkuasa akan memutuskan tindakan yang akan diambil dalam menangani masalah runtuhan cerun runtuh di sekitar bangunan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di Bukit Tunku, Jalan Duta di sini di dalam mesyuarat khas petang ini kata Ketua Polis Daerah Sentul, Asistant Komisioner (ACP) Beh Eng Lai.Beliau berkata mesyuarat tersebut juga akan membincangkan punca tanah runtuh itu.
“Setakat siasatan awal semalam di lokasi mendapati paip pecah salah satu punca yang ditemui mengakibatkan berlaku kejadian runtuhan itu. Kedua adalah berlaku takungan air akibat pemendapan tanah yang turut terjadi di situ.
“Apapun, setakat ini kedua-dua bangunan itu ditutup untuk operasi sehingga arahan lanjut dan satu sidang media mengenai hasil mesyuarat akan dibuat pada 5.30 petang ini,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Menjelas lanjut mengenai situasi terkini, Eng Lai berkata beberapa runtuhan kecil tanah berlaku berhampiran bangunan malam tadi berikutan hujan lebat dan kawasan yang mengalami runtuhan tanah telah ditutup dengan kanvas bagi mengelak hakisan dan runtuhan yang lebih teruk berlaku
“Kita melihat dan mendapati masih berlaku runtuhan dan hakisan tanah di tempat runtuhan itu, jadi setakat menutup dengan kanvas mungkin tidak dapat mengurangkan risiko bahaya yang ada di lokasi.
“Jadi, kita sedang mempertimbangkan dan berbincang untuk memasang cerucuk besi bagi mengelakkan bangunan berdekatan iaitu Institut Integriti Malaysia (IIM) dengan Akademi SPRM daripada terus terjejas akibat risiko hakisan tanah runtuh ini yang terjadi sejak semalam,” katanya sambil menambah cadangan penanaman cerucuk akan dibincangkan pada mesyuarat jam petang ini.
Ujarnya, perbincangan akan dijalankan bersama pihak teknikal terdiri daripada Cawangan Kejuruteraan Cerun Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Minera dan Geosains Malaysia (JMG) serta beberapa agensi lain bagi proses pemasangan cerucuk besi di kawasan runtuhan.
Terdahulu, seramai 76 petugas Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dan Institut Integriti Malaysia (IIM) berdepan detik cemas selepas berlaku runtuhan tanah di kawasan itu kira-kira jam 1.30 tengah hari.
Kejadian itu melibatkan kawasan di depan pintu akademi milik SPRM dan meruntuhkan sebuah pondok kawalan dengan keluasan tanah runtuh dianggarkan 30.48 x 36.57 meter persegi. -WILAYAHKU