SATU mendapan tanah dikesan berlaku berhampiran laluan masuk ke Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pagi tadi.
Menurut Kementerian Kerja Raya, kejadian disyaki berpunca daripada kebocoran paip kumbahan di kawasan kendalian Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB).
Katanya, anggaran kedalaman lubang tersebut adalah satu meter dengan lebar 5.4 meter.
“Kejadian telah dimaklumkan kepada pihak MAHB. Pemantauan serta pemeriksaan di lokasi serta pemasangan penghadang oleh pihak MAHB telah dilakukan MAHB.
“Laporan terperinci akan dikeluarkan MAHB setelah selesai siasatan dibuat,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Kementerian itu menambah, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Roadcare akan memberikan bantuan sekiranya diperlukan MAHB.
Wilayahku sedang mendapatkan maklum balas MAHB berhubung kejadian itu. – WILAYAHKU