MALAYSIA Airports Holdings Bhd. (MAHB) mengesahkan akses ke kedua-dua terminal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tidak terjejas biarpun berlaku tanah mendap di depan Kompleks Bunga Raya yang dikesan pagi tadi.
Menurut MAHB, kawasan landasan dan operasi penerbangan juga tidak terkesan dengan kejadian itu.
“Kami mengesahkan mendapan tanah dikesan pada pukul 8.54 pagi tadi di jalan luar Kompleks Bunga Raya, kira-kira satu kilometer dari bangunan terminal utama KLIA.
“Pasukan kami telah mengepung kawasan kejadian dan sedang menilai situasi,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
MAHB menambah, pihak berkuasa berkaitan termasuk polis dan Jabatan Kerja Raya (JKR) telah dimaklumkan dan usaha pemulihan sedang dijalankan.
Katanya, laluan yang terjejas ditutup sementara dan tiada kerosakan pada harta awam dilaporkan. – WILAYAHKU
caption:
TANAH mendap yang dikesan di laluan luar Kompleks Bunga Raya dekat KLIA, Sepang.