Berita

Tamu Simbat-Simbatan memartabatkan etnik kaum Kadayan

ROZMAN (tengah) menyampaikan buah tangan kepada Bashir (dua dari kanan) selepas perasmian Program Tamu Simbat-Simbatan siri ke empat di Perkarangan Medan Selera, baru-baru ini.
- Diterbit 11 September 2022 3:00 AM MYT

PROGRAM Tamu Simbat-Simbatan yang dianjurkan oleh Persatuan Kadayan Labuan (WAKAL) merupakan satu usaha persatuan itu memartabatkan kebudayaan, kesenian etnik kaum itu kepada masyarakat umum.

Menurut Yang Dipertua WAKAL, Datuk Rozman Isli, penganjuran program itu bertujuan mempromosikan program dan aktiviti yang berkaitan dengan budaya, bahasa, tradisi dan adat resam masyarakat kadayan.

“Ini adalah usaha kita untuk memastikan kebudayaan, kesenian kaum ini dapat dikekalkan kepada generasi muda dan tidak dilupakan.

“Selain itu, dengan penganjuran ini mampu memartabatkan etnik kaum ini di mata dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian penganjuran itu yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Negara Senator, Datuk Bashir Alias di perkarangan Medan Selera di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Bashir yang juga Pengerusi Perbadanan Labuan menyambut baik penganjuran program itu sebagai usaha yang mampu meningkatkan ekonomi Labuan sekali gus memartabatkan kebudayaan kaum Kadayan.

Katanya, penganjuran itu berpotensi dalam menarik pelancong luar ke pulau itu dan memberikan impak positif kepada Labuan dari segi ekonomi khususnya.

“Bagi pihak Perbadanan Labuan berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang kerana ianya merupakan penganjuran yang memberikan manfaat kepada pulau ini dari segi kebudayaan, kesenian dan ekonomi,” katanya.

Terdahulu, penganjuran Tamu SimbatSimbatan itu telah mengumpulkan seramai 125 peniaga daripada Labuan dan Sabah.

Pada program selama empat hari itu turut diadakan pengisian antaranya persembahan kebudayan etnik Kadayan (Ba’anggat Mukun), pertandingan karaoke, pertandingan mewarna dan pelbagai lagi. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas