Berita

Tambang pengangkutan pelancongan Singapura naik bukti penyasaran subsidi diesel wajar diteruskan – PM Anwar

Kredit: AFP
- Diterbit 18 Jun 2024 1:29 PM MYT

KENAIKAN harga tambang pengangkutan yang dikenakan agensi pelancongan dan bas penumpang Singapura serta beberapa siri penangkapan sindiket penyelewengan diesel di sempadan negara membuktikan penyasaran subsidi bahan api itu wajar diteruskan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penyasaran subsidi diesel amat penting untuk negara bagi menyelamatkan dana yang bocor dan disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Semua bas pelancong dan syarikat pelancongan dari Singapura nak naik harga kerana katanya tidak dapat subsidi diesel, maknanya selama ini berpuluh tahun, subsidi kita pergi ke syarikat Singapura, pergi ke kapal-kapal nelayan Siam. Bocor (dana) banyak.

“Subsidi dimanfaatkan oleh 3.8 juta orang asing, dibawa keluar ke Siam, dia bagi hantar kepada kapal nelayan Siam … yang bayar cukai rakyat Malaysia tetapi yang dapat manfaat orang asing,” katanya pada Majlis Korban Perdana Bersama Perdana Menteri di Masjid Jamek Cherok Tok Kun Bawah di sini hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata jumlah pengeluaran kereta dari 2012 hingga 2020 sedikit berbanding peningkatan melambung diesel yang dikeluarkan kerana bahan api terbabit dinikmati warga asing. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas