Berita

Tambah baik tadbir urus sedia ada tarik pelaburan

- Diterbit 28 September 2024 3:21 PM MYT

MESYUARAT Peringkat Tertinggi Inisiatif Pembangunan Kluster Industri diadakan bagi meninjau potensi kerjasama strategik antara Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka melalui kluster industri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata demikian selepas hadir ke Mesyuarat Peringkat Tertinggi Inisiatif Pembangunan Kluster Industri di Wilayah Tengah semalam.

Menurut Zaliha, mesyuarat itu dipengerusi oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz.

“Turut diberi penerangan berkenaan Cadangan Rangka Kerja Inisiatif Pembangunan Kluster Industri di Wilayah Tengah yang dibentangkan oleh Malaysian Investment Development Authority (MIDA).

“Dalam mesyuarat tersebut, saya juga telah menyatakan keperluan untuk menambah baik tadbir urus sedia ada di Wilayah Persekutuan sebagai langkah awal menarik lebih banyak peluang pelaburan ke Kuala Lumpur,” katanya di Facebook.

Sementara itu, Zaliha berkata semalam beliau turut memaklumkan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040) telah menyasarkan sebanyak 21 kawasan bagi penumpuan kluster industri.

Beliau berkata semoga usaha itu dapat menggalakkan lagi pertumbuhan ekonomi dan mencipta peluang pekerjaan.

“Ini semestinya memberi manfaat ekonomi kepada masyarakat setempat dan meningkatkan daya saing industri Wilayah Tengah khususnya Kuala Lumpur di peringkat nasional mahupun persada antarabangsa,” katanya.

Turut hadir dalam mesyuarat itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Pegawai Kewangan Negeri Melaka, Wakil Ketua Menteri Melaka, Datuk Wira Salhah Salleh. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas