TAMAN Warisan Pertanian Putrajaya dibuka kepada orang ramai bermula semalam sehingga 7 Januari dengan tiket berharga RM 5.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa yang meluangkan waktu melawat taman berkenaan menyifatkan ia sebagai ‘The Hidden Gem’.
“Siapa sangka, di tengah-tengah pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan ini, ada satu tempat tumpuan yang sangat berpotensi untuk menarik pengunjung.
“Dalam Taman Warisan ni rupanya ada banyak tanaman buah-buahan tempatan seperti rambutan, durian, nanas, ciku, manggis, jambu batu dan banyak lagi. Pokok petai pun ada!
“Saya maklumkan kepada Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud, buka taman ni pada orang awam rasa buah-buahan tempatan ini,” katanya dalam hantaran yang dimuat naik di akaun Facebooknya.
Zaliha mengajak orang ramai menikmati buah-buahan yang terdapat di dalam taman warisan itu sepuas-puasnya. Namun beliau mengingatkan mereka agar berhati-hati.
“Boleh makan rambutan dan buah-buahan lain puas-puas kat dalam. Cuma jaga keselamatan ya. Jangan panjat pokok-pokok ini pula,” katanya. – WILAYAH
[Iklan]