BAGI memastikan kucing terbiar dapat diurus dan dijaga dengan baik, satu usaha murni digerakkan menerusi penubuhan Taman Kucing Madani @ Flat Seri Sabah.
Inisiatif murni tersebut diilhamkan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mengharapkan Flat Seri Sabah menjadi pusat pertama di Kuala Lumpur yang mempunyai taman perlindungan kucing.
“Di sini adalah tempat memelihara kucing-kucing jalanan, terbiar, dizalimi dan dibuang supaya haiwan-haiwan ini sentiasa sihat dan selamat.
“Sikap murni ini juga merupakan sikap ihsan yang terkandung dalam konsep Malaysia Madani yang menjadi tunggak kepada kesejateraan dan keharmonian negara,” ujar beliau selepas merasmikan
Taman Kucing Madani @ Flat Seri Sabah disini hari ini.
Beliau juga turut mengalu-alukan warga Wilayah Persekutuan khususnya untuk bersama-sama memberi sokongan kepada taman haiwan tersebut.
“Kita juga menjemput agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat korporat menyumbang bagi menaik taraf kemudahan Taman Kucing Madani ini,” ujar beliau sebagai permulaan 20 ekor kucing telah ditempatkan di lokasi tersebut.
Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin.
Terdahulu, sejumlah RM150 ribu diperuntukkan untuk pembinaan dan kelengkapan di taman haiwan tersebut yang dapat menempatkan sebanyak 75 ekor kucing dalam satu-satu masa.
Dalam perkembangan lain, Azizah turut merasmikan Karnival Keusahawanan Madani 5 Komuniti bertempat di Dewan Serbaguna DBKL, Kampung Malaysia Tambahan, Kuala Lumpur. – WILAYAHKU