Berita

Taman berlukar bertukar wajah

AZIZAH (kanan) ketika gimik perasmian Taman Kejiranan Ikhlas, Bandar Tun Razak hari ini
- Diterbit 27 Februari 2024 8:33 PM MYT

TAPAK yang dahulunya kawasan belukar terbiar kini telah bertukar wajah menjadi sebuah taman kejiranan yang indah, selesa dan selamat untuk digunakan oleh penduduk Bandar Tun Razak khususnya.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Sr Kamarulzaman Mat Salleh berkata seiring dengan inisiatif Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goal) 2030, penyediaan taman kejiranan ini dilihat mampu meningkatkan kesedaran masyarakat akan kepentingan kawasan riadah dan rekreasi dalam mensejahterakan penduduk bandar.

“Pelbagai fasiliti telah disediakan untuk kegunaan setiap peringkat umur antaranya seperti taman permainan kanak-kanak, alat senam riang, mini balapan dan pejalan kaki.

“Taman ini juga dilengkapi dengan pencahayaan bagi kemudahan untuk akitiviti riadah pada waktu malam,” katanya ketika Majlis Perasmian Taman Kejiranan Ikhlas, Bandar Tun Razak.

Tambah beliau pembangunan taman ini telah bermula pada April 2021 dan setelah melalui proses pembinaan selama dua tahun taman ini telah siap sepenuhnya pada Mei 2023.

Kamarulzaman berkata taman yang berkeluasan 2.5 ekar itu diharapkan dapat memberi nilai tambah kepada kualiti kehidupan masyarakat setempat.

“Taman ini boleh digunakan sebagai lokasi untuk mengadakan aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, program pendidikan luar kelas, aktiviti sukan dan riadah.

“Semoga taman kejiranan ini memberi manfaat dalam aspek peningkatan tahap kesihatan, keselamatan dan hubungan sosial kepada warga Bandar Tun Razak,” ujarnya sebanyak RM1.7 juta diperuntukkan untuk taman tersebut.

Terdahulu, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merasmikan Taman Kejiranan Ikhlas, Bandar Tun Razak. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas