Berita

Talian HEAL 15555 terima 336 panggilan berkaitan bunuh diri

Foto: Buletin TV3
- Diterbit 10 Oktober 2024 4:05 PM MYT

SEBANYAK 336 daripada keseluruhan 59,860 panggilan yang diterima menerusi Talian Bantuan Krisis Kesihatan Mental atau Talian HEAL 15555 bagi tempoh 2022 hingga semalam adalah berkaitan tingkah laku cubaan bunuh diri, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 198 panggilan melibatkan idea bunuh diri manakala 138 panggilan lagi adalah cubaan bunuh diri.

“Kita dapati yang (panggilan) idea untuk membunuh diri ini iaitu 198 kes, dia memang menghitung-hitung itu (untuk membunuh diri).

“Ini kita perlu intervensi segera dan kenal pasti (isu) supaya kita dapat mengelakkan mereka daripada melakukan itu (bunuh diri),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2024 Peringkat Kebangsaan, di sini hari ini.

Talian HEAL 15555 iaitu talian bantuan krisis pertama dikendalikan sepenuhnya pegawai psikologi (kaunseling) mula beroperasi pada 21 Oktober 2022 bagi membantu individu yang menghadapi masalah kesihatan mental mendapatkan bantuan awal.

Talian yang beroperasi bermula 8 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari termasuk cuti umum itu adalah antara inisiatif dilaksanakan bagi mencegah tingkah laku bunuh diri di Malaysia.

Sementara itu, Dzulkefly berkata, daripada jumlah panggilan yang diterima talian itu, sejumlah 35,590 (59 peratus) klien menerima bantuan sokongan dan emosi, manakala 24,270 (41 peratus) klien diberikan intervensi khusus.

“Sebab itu sangat mustahak pengurus tertinggi organisasi dan
tempat kerja sama ada pengarahnya dan (pengurus) yang lain supaya mewujudkan suasana empati dan suasana kerja yang adil.

“Walaupun pimpinan mahu semuanya bekerja dengan hebat dan baik tetapi kita juga mesti tahu bahawa sebaik-baiknya adalah apabila kita dapat sokongan dan kerjasama daripada anak buah kita ketika mereka seronok untuk menjayakan apa yang dikatakan sebagai visi dan cita-cita organisasi, pemimpin mereka,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas