Berita

TalentCorp terima 11,068 permohonan program Kepulangan Pakar

- Diterbit 12 Julai 2024 3:28 PM MYT

SEJAK dari tahun 2011 sehingga 31 mei 2024, TalentCorp melalui inisiatif Program Kepulangan Pakar (REP) telah menerima 11,068 permohonan daripada golongan profesional Malaysia atau diaspora yang menetap di luar negara untuk kembali ke tanah air.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata daripada jumlah ini lebih 6,969 orang pakar telah diluluskan di bawah inisiatif ini.

” TalentCorp, dengan sokongan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), komited menawarkan insentif untuk menarik bakat berkemahiran tinggi Malaysia pulang termasuk mendapat pengecualian cukai pendapatan pada kadar rata 15 peratus ke atas pendapatan penggajian bagi tempoh lima tahun berturut-turut.

“Pengecualian cukai ke atas semua barangan peribadi yang dibawamasuk ke Malaysia, terhad kepada satu penghantaran; dan pengecualian duti eksais bagi pembelian sebuah kenderaan ditutup sepenuhnya CKD,terhad sehingga RM100,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawap soalan lisan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) bertanya apakah insentif yang akan dilakukan oleh Kementerian untuk membawa balik bakat tempatan berkemahiran tinggi dari luar negara dan mekanisme bagi menangani kekurangan tenaga kerja khususnya dalam sektor pembuatan di Malaysia.

Steven Sim berkata pihaknya menyedari perkembangan globasisasi di mana perbincangan hijrah cendikiawan atau brain drain kini telah berevolusi kepada brain circulation dan telah merintis usaha untuk memudahcara kepulangan mereka diperluaskan cara untuk mengoptimumkan sumbangan mereka walau di mana mereka berada.

“Satu struktur yang strategik sedang dibangunkan di bawah inisiatif Malaysia @ Heart atau MyHeart untuk merealisasikan aspirasi ini,dengan memudahcara diaspora Malaysia yang merangkumi peluang pekerjaan, pendidikan untuk anak-anak, peluang untuk berkolaborasi dengan institusi tempatan, usaha mudahcara permit masuk pasangan dan anak-anak bukan warga negara, maklumat pasaran kerja.

“MyHeart, inisiatif oleh TalentCorp yang diperkenalkan oleh KESUMA, menyediakan kemudahan menyeluruh untuk rakyat Malaysia di luar negara bersambung semula dengan tanah air mereka, sama ada mempertimbangkan untuk pulang atau tidak,” katanya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas