Berita

Taklimat khas penggunaan Jalur Gemilang bakal diadakan

- Diterbit 17 April 2025 4:42 PM MYT

SATU taklimat khas akan diadakan bagi memperjelas tatacara penggunaan Jalur Gemilang yang betul kepada organisasi media dan unit komunikasi korporat.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata berikutan kejadian yang berlaku baru-baru ini, kerajaan akan mengadakan satu sesi penerangan dan taklimat kepada organisasi media dan unit korporat berkenaan tatacara penggunaan Jalur Gemilang.

“Taklimat tersebut akan diadaakan dalam tempoh dua minggu lagi bertempat di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPTAR),” katanya dalam Sidang Media Mingguan Menteri Komunikasi hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata pihaknya telah bertemu bertemu dengan pihak pengurusan media Sin Chew Daily susulan isu kontroversi yang timbul pada Selasa lalu.

“Saya bersama Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching telah bertemu dengan pihak pengurusan media tersebut dan kita telah memaklumkan bahawa siasatan pihak berkuasa sedang berjalan.

“Siasatan berkaitan ilustrasi Jalur Gemilang tanpa bulan sabit itu kini dikendalikan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC),” jelasnya.

Fahmi berkata kes berkenaan kini berada di bawah bidang kuasa KDN kerana berkaitan dengan bahan bercetak dan bukan hanya aspek digital.

Pada Selasa Akhbar Sin Chew Daily menerbitkan ilustrasi Jalur Gemilang dan bendera China sempena lawatan Presiden China, Xi Jinping ke Kuala Lumpur. Bagaimanapun, bendera Malaysia yang dipaparkan tidak mempunyai bulan sabit.

Dalam permohonan maaf yang diterbitkan pada Selasa, akhbar itu memohon maaf atas kesilapan teknikal dan membuat pembetulan dengan menerbitkan semula menerusi edisi cetakan pada Rabu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas